MELAKA 29 Okt. – Lapan calon akan mewakili Bersatu pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka, melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Klebang, Lendu, Gadek, Sungai Udang, Pantai Kundor, Ayer Keroh dan Bemban.
Naib Presiden Bersatu, Dr Mohd Radzi Jidin mengumumkan senarai calon berkenaan pada majlis yang berlangsung di Baitul Tariq, Klebang, di sini, malam ini.
Bagi DUN Pengkalan Batu, Naib Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya, Norhizam Hassan Baktee yang lebih dikenali ‘YB Beliau’ akan bertanding di kawasan yang pernah dimenanginya itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ketika mewakili DAP.
Norhizam juga sebelum ini bertanding semula di Pengkalan Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 sebagai calon Bebas menggunakan lambang kunci selepas tidak lagi bersama DAP.
Bagaimanapun, bekas Exco Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka itu hanya memperoleh 1,218 undi, sekali gus gagal mempertahankan kerusi berkenaan.
Setakat ini Norhizam bakal berhadapan calon BN, PH dan Bersama.
Turut dicalonkan Pengarah Pilihan Raya Bersatu Melaka, Mohamad Ali Mohamed, yang diumumkan sebagai calon DUN Klebang.
Beliau bakal bersaing dengan calon wanita Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu, Farzana Hayani Mohd Nasir, Young Jie Yu (Bersama) dan penyandang kerusi daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong.
Enam calon lain adalah Nazri Ramli (Lendu), Mohd Zamri Abu Bakar (Gadek), Mejar (B) Abdullah Mahadi (Sungai Udang), Dr Asmah Samat (Pantai Kundor), Mohd Hamnaim Mohamad (Ayer Keroh) dan Muhammad Rabaie Ab Hamid (Bemban).
