MCA akur tanding dua kerusi di Melaka

KUALA LUMPUR 28 Okt . – Majlis Presiden MCA memutuskan untuk meneruskan keakraban dalam Barisan Nasional (BN) dengan menyertai Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka serta akur dengan dua kerusi yang diperuntukkan.

Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, berkata ketetapan itu juga dibuat selepas mengambil kira jaminan mengenai penyertaan parti itu mewakili masyarakat Cina di Melaka tidak akan dipinggirkan.

Dua kerusi itu adalah N.08 Machap Jaya yang diwakili NgweHee Sem dan N.14 Klebang diwakili Lim Ban Hong.

Ka Siong berkata, Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi juga memberi maklum balas positif berhubung isu dibangkitkan MCA dan akan diterjemahkan menerusi beberapa tindakan bersama.

“Kita diberi jaminan representasi masyarakat Cina, terutama MCA tidak akan dipinggirkan dan akan terus berperanan dengan kaedah lebih baik. Saya nampak kita sudah ada strategi untuk membuat ubah suai.

Ini juga jaminan Ahmad Zahid untuk kita memastikan penyertaan kaum Cina dalam kerajaan negeri tidak dipinggirkan dan sama-sama mendukung cita-cita dan perjuangan BN. Ini perkembangan positif.

Paling penting ialah mengatur gerak kerja dan memastikan kemenangan kita untuk membentuk kerajaan yang kuat serta seimbang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden MCA, di sini hari ini.

Sabtu lalu, BN mengumumkan calon bagi 21 kerusi DUN, termasuk dua wakil MCA, iaitu penyandang kerusi Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem dan penyandang kerusi Klebang, Datuk Lim Ban Hong.

Bagaimanapun MCA menegaskan tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN tanpa mendapat persetujuan kepemimpinan tertinggi.

Ka Siong mendakwa tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan parti adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.

Beliau juga mendakwa MCA tidak dimaklumkan lebih awal bahawa majlis BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) akan membabitkan pengumuman calon, sebaliknya diberitahu bahawa ia hanya majlis pelancaran jentera pilihan raya.

“Jika mereka umumkan pun, kami tidak akan mengakuinya. Jika pengerusi MCA sendiri tidak menandatanganinya, bagaimana ia boleh diiktiraf?,” tegasnya.

Susulan pendirian itu, satu perbincangan khas bersama kepemimpinan MCA diadakan semalam melibatkan Ahmad Zahid, Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abd Kadir serta Pengerusi BN Melaka merangkap Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh.

Sementara itu, Ka Siong berkata, kedua-dua calon berkenaan akan bertanding menggunakan logo BN, mengambil kira hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara parti komponen gabungan itu.

“Kita melihat perkembangan positif mengenai keperluan mengeratkan silaturahim, terutama menerusi perbincangan demi kebaikan bersama. Ini perkara baik yang perlu diterapkan dan inilah semangat BN yang tulen.

“Tidak menjadi isu (bertanding menggunakan logo BN dan jumlah kerusi diperuntukkan kepada MCA) kerana saya melihat persahabatan sudah lama terjalin, selain rungutan yang disampaikan kepada Ahmad Zahid turut didengari.

“Lebih penting, kita diibaratkan seperti adik-beradik dan saling membantu, selain kedua-dua parti mempunyai sejarah yang panjang. Justeru, kita perlu merapatkan saf dan paling utama, BN dapat memaksimumkan kemenangan di Melaka.

“Selebihnya, kerangka dan strategi yang diatur ini akan dilaksanakan kemudian, dengan perkara itu akan diberikan perhatian khusus oleh Ahmad Zahid,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment