RIYADH – Tiga orang dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas dua lapangan terbang di Arab Saudi ketika sebuah pesawat sedang mendarat.
Serangan berlaku ketika pertempuran antara kumpulan Houthi yang disokong Iran dan pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi semakin sengit.
Dalam serangan terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, seorang terbunuh manakala lapan lagi cedera manakala dua lagi terbunuh dan 28 cedera dalam serangan ke atas kemudahan di lapangan terbang Abha.
Gabungan tentera diketuai Arab Saudi yang memerangi Houthi berikrar membalas serangan itu dan memberi amaran bahawa tindakan berkenaan tidak akan dibiarkan tanpa balasan.
Dalam kenyataan pada lewat Rabu, gabungan itu berkata, pihaknya menyerang lebih 80 lokasi ketenteraan Houthi di wilayah Saada, Hodeidah, Jawf dan Marib.
Serangan ke atas lapangan terbang Arab Saudi itu adalah sebahagian daripada beberapa serangan yang menyasarkan kemudahan penerbangan.
Kementerian Pengangkutan Yaman berkata, Houthi turut menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Aden menggunakan peluru berpandu balistik dan dron sarat bahan letupan, awal Rabu.
Menurut kementerian itu, satu peluru berpandu jatuh berhampiran landasan beberapa minit sebelum pesawat dari Kaherah dijadual mendarat.
Lapangan terbang berkenaan menjadi pintu masuk antarabangsa utama bagi kawasan Yaman yang tidak dikuasai Houthi.
Nnnn
