SEREMBAN 30 Sept. – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan berharap kemelut institusi dan pentadbiran negeri dapat diselesaikan segera bagi memastikan pentadbiran serta kepentingan rakyat tidak terus terjejas.
Pengerusinya, Aminuddin Harun berkata, perkembangan semasa bukan sahaja melibatkan persoalan perlembagaan dan institusi diraja, malah menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pentadbiran dan kestabilan ekonomi.
Katanya, ketidaktentuan berkaitan kedudukan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) boleh melambatkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri.
Begitu juga urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek berpotensi terkesan dan boleh menjejaskan keyakinan pelabur, menyukarkan urusan pemilik tanah dan peniaga, serta memberikan kesan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.
Bekas Menteri Besar itu menerusi Facebook juga menarik perhatian mengenai, pelantikan dan fungsi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta anggota majlis yang tidak boleh terus tergantung
Ini kerana kedua-duanya menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat pada peringkat akar umbi di mana komuniti atau penduduk berisiko kehilangan saluran perwakilan serta penyelarasan yang berkesan.
Tegasnya, keadaan semasa turut menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan akibat pertikaian berpanjangan.
“Walaupun jentera perkhidmatan awam masih mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan tugas, ketidaktentuan dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam, pelabur, pihak berkuasa tempatan dan rakyat.
Kerajaan negeri perlu memastikan wujudnya kejelasan tentang kuasa membuat keputusan, tanggungjawab setiap pihak dan kesinambungan pentadbiran,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, semua pemimpin politik perlu mengutamakan kebijaksanaan, mengelakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan serta memberikan ruang kepada proses perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.
Semalam, Menteri Besar, Ismail Lasim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hampir tiga jam di Istana Hinggap di sini.
Sebelum ini, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang berkuat kuasa pada 20 September dan pembatalan itu diwartakan pada 24 September.
Foto FB Aminuddin Harun
Nnnn
