Tiada petunjuk kehilangan 5 wartawan

JAKARTA – Memasuki hari ke-10 hari ini, operasi mencari lima wartawan, dua kru bot dan seorang pemandu arah yang hilang di Selat Sunda setakat ini tidak membawa sebarang petunjuk mengenai mereka atau bot laju yang dinaiki.

Menurut Ketua Operasi Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Banten Rizky Dwianto,  pencarian kini meliputi perairan dari sekitar Selat Sunda hingga ke Lautan Hindi menghala ke Pulau Enggano di luar pantai barat daya wilayah Bengkulu, Sumatera.

Kawasan pencarian pula diperluas kepada 8,509 batu nautika persegi, dengan sejumlah 24 kapal daripada pelbagai agensi bersiap sedia di 10 sektor.

Operasi SAR itu, yang melibatkan 523 anggota daripada Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) serta agensi lain, dilanjutkan tiga hari selepas operasi awal tujuh hari berakhir tanpa menemukan kelapan-lapan individu berkenaan.

Wartawan yang hilang ialah Muhammad Bagus Khoirunnas daripada Antara, Firdaus Wajidi (Agensi Anadolu), Ari Basuki (Merdeka.com), Yudistiro Pranoto (iNews) dan wartawan bebas Donal Husni manakala individu lain ialah kru bot Warta dan Surakman serta pemandu arah Heriyanto.

Mereka dilaporkan hilang pada 7 September ketika membuat liputan mengenai letusan Anak Krakatau di Selat Sunda yang memisahkan Pulau Jawa dan Sumatera.

Related posts

Leave a Comment