Najib: UMNO bersedih, harap keputusan terbaik

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa sedih atas penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata pihaknya mengharapkan yang terbaik dapat diberikan kepada Najib.

“Bagaimanapun, kami tetap menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim). Kami merayu supaya gunakan seluruh kebijaksanaan dan daulat Tuanku untuk membuat keputusan terbaik.

“Kami tetap mendukung institusi Raja dan mengharapkan yang terbaik akan diberikan kepada Datuk Seri Najib,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan mengumumkan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang akan diadakan kelak.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat ke-63 lembaga berkenaan yang diadakan hari ini yang turut berkenan membebaskan 65 banduan.

Kenyataan BHEUU memaklumkan semua banduan bukan warganegara yang dibebaskan hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal masing-masing dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam satu kenyataan menghormati keputusan untuk menangguhkan pertimbangan permohonan pengampunan.

Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kuasa pengampunan diperuntukkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, proses ini mesti dihormati sepenuhnya tanpa sebarang tekanan, desakan atau campur tangan politik daripada mana-mana pihak.

Pemuda UMNO akan terus berpegang kepada saluran undang-undang dan Perlembagaan. Kami menyeru semua pihak agar menghormati proses ini dan tidak mempolitikkan kuasa pengampunan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment