UMNO tidak condong ke kiri atau ke kanan

KUALA LUMPUR 9 Sept. – UMNO sentiasa terbuka dan berlapang dada, untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kelangsungan perjuangan bangsa dan agama, kata Timbalan Presidennya Mohamad Hasan.

Katanya, parti itu tidak pernah menutup ruang bagi merealisasikan kesatuan bangsa Melayu merentasi parti dan ideologi.

“Percayalah, jika sesiapa juga yang datang kepada UMNO dan menggagaskan kesatuan Melayu, UMNO akan menyambutnya dengan berlapang dada, tetapi kerjasama itu mestilah ada kejelasannya,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan kerjasama itu mesti dianjurkan dengan niat yang ikhlas, bersandarkan kepentingan strategik politik Melayu-Islam, bukan berjeda dan terputus-putus, bukan bermusim dan bukan mengambil kesempatan atas kekuatan atau kelemahan UMNO.

Katanya, UMNO pernah dipermainkan dalam politik perpaduan Melayu Islam ini, dan tidak akan membiarkan ia diperbudakkan lagi.

“Kerana itu UMNO amat berhati-hati. UMNO tidak mahu pengalaman buruk itu berulang lagi.  Pendirian UMNO sangat jelas. Anda ikhlaskan diri, kami juga akan ikhlaskan segalanya, insya’Allah.

Justeru, penyatuan politik Melayu itu boleh berlaku pada bila-bila masa, dalam apa jua keadaan, dengan bersandarkan visi ‘Rumah Bangsa’ yang UMNO pelopori.

“Kerjasama ini mesti dinaungi oleh UMNO. Ia mesti menjadikan UMNO itu asas, tiang seri dan prinsip utuh yang mengikat semua kepada kepentingan Melayu. UMNO lah yang membidani kelahiran nasionalisme Melayu, dan ia akan terus menjadi payung yang memayungi kesatuan bangsa Melayu untuk selamanya.

Justeru janganlah mempunyai prasangka terhadap visi “Rumah Bangsa” hanya kerana ia diilhamkan oleh UMNO,” katanya.

Mohamad berkata, apa juga kerjasama politik yang diusahakan dalam konteks perpaduan Melayu Islam, mestilah luwes atau flexible, tanpa memerlukan perikatan-perikatan politik baharu.

“UMNO akan kekal dengan Barisan Nasional, kini dulu dan selamanya. Segala kerjasama, mestilah luwes. Persefahaman dan kerjasama yang longgar, bukan perjanjian yang mengikat.

Kita tidak suka diikat, juga mengikat. UMNO mahukan kebebasan untuk bertindak sesuai dengan perhitungan politiknya. UMNO tidak suka terhutang budi, apatah lagi berharap dengan naungan parti lain, untuk kelangsungan sokongan Melayunya.

UMNO telah dan akan terus membangunkan kekuatan sendiri seperti sebelumnya,” katanya.

Mohamad yang juga Menteri Luar mengingatkan ruang kerjasama pelbagai parti Melayu dalam pilihan raya, tidak seharusnya menyinggung rakan rakan dari pelbagai bangsa lain termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Jangan sesekali kita memikirkan konstituen kita hanya Melayu. Tindakan dan perilaku kita, jangan sesekali membuka ruang kerisauan, di kalangan rakyat Malaysia yang bukan Melayu dan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak.

Ingat, bila politik Malaysia ini ‘chaotic’ dan kacau bilau, kita memerlukan keyakinan bukan Melayu dan parti Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan,” katanya.

Katanya, mereka di Sabah dan Sarawak telah menjadi kuasa penentu dan era menganggap mereka deposit simpanan tetap telah tinggal kenangan.

Justeru, ramai dari kalangan bukan Melayu dan rakan di Sabah dan Sarawak, yang bimbang ke mana Malaysia ini akan terarah, apabila politik Melayu Islam itu menjadi domain yang terlihat.

“Penegasan saya ialah, UMNO akan selamanya ‘centrist’. Ideologi kita ialah ‘sentrisme’.  Sekali lagi saya ulang, UMNO adalah golongan dan kelompok tengah dan akan selamanya menyusuri jalan pertengahan.

Kita tidak akan condong ke kiri atau ke kanan. Iltizam kita ialah mengimbangi antara idea dasar kiri dan kanan, sebagai sebuah parti kebangsaan yang moderat.

Spektrum pendirian UMNO sangat jelas. Kita telah diuji berpuluh-puluh tahun dengan mengurus serta mentadbir negara dengan sikap, dasar, pendirian dan keutamaan yang sederhana, walaupun sebagai parti kebangsaan,” tegasnya.

Justeru, sesiapa sahaja yang ingin bekerjasama dengan UMNO, mesti menerima kesederhanaan serta sikap menengah UMNO dan  tidak boleh memaksa ideologi konservatif atau radikal ke atas UMNO.

Bangsa Melayu pula katanya akan terus menjadi bangsa keindukan yang menyediakan ruang dan peluang untuk semua serta memastikan tanah air ini untuk semua, makmur dan diuruskan dengan teliti, selari dengan apa yang terpasak dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kepada rakan-rakan bukan Melayu dan bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak. Ikrar UMNO ialah Malaysia yang adil dan bersatupadu.

Politik Melayu akan kami uruskan secara matang dan tidak akan menjadi beban dan ancaman, mahupun penafian hak dan kepentingan kalian. Kita cita-citakan Malaysia yang aman sentosa dan saling melengkapi antara semua kaum jua,” katanya.

Nnnmm

Related posts

Leave a Comment