KOTA BHARU 4 Sept. – “Seingat kami perkara itu tidak pun dibawa ke Kabinet, hanya di peringkat Kementerian Kewangan,” demikian penjelasan Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan berhubung kekerapan cabutan khas nombor ramalan.
Beliau menafikan dakwaan bekas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa Kabinet di bawah pentadbiran terdahulu memutuskan untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun.
Sebaliknya, Takiyuddin yang ketika itu menjadi Menteri Tenaga dan Sumber Asli di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, menegaskan Zafrul tidak pernah membawa perkara itu kepada Kabinet untuk dipertimbangkan.
“Seingat kami perkara itu tidak pun dibawa ke Kabinet, hanya di peringkat Kementerian Kewangan. Minta Tengku Zafrul confirm, dia menteri kewangan, kita menteri lain.
Tak dibawa ke Kabinet kami tidak ada makluman. Bila dah keluar beberapa kali baru kita buat teguran, tapi dah putus dah, itu bidang kuasa Kementerian Kewangan.
“Tidak dibawa ke Kabinet, tidak ada kertas Kabinet, tak ada memorandum menteri, memang bidang kuasa dia di Kementerian Kewangan,” kata Takiyuddin pada sidang media selepas ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di sini.
Semalam, Zafrul menegaskan keputusan meningkatkan cabutan khas kepada 22 kali setahun merupakan tanggungjawab bersama Kabinet, yang turut dianggotai menteri daripada Pas ketika itu.
Menurut Zafrul, cabutan khas mula diperkenalkan pada 1999, dan had 22 cabutan setahun sudah wujud di bawah pentadbiran BN terdahulu sebelum beliau menjadi Menteri Kewangan lagi.
Terdahulu Ketua Pemuda Pas Kelantan Firdaus Nawi mendakwa Zafrul merupakan menteri yang meluluskan peningkatan itu, sedangkan Pas membantahnya.
Bidasan Firdaus itu bagi menepis sindiran penyokong PH bahawa jumlah cabutan khas meningkat daripada lapan kepada 22 kali ketika Pas berada di dalam kerajaan.
Perkara itu dibangkitkan perdana menteri dan penyokongnya sebagai menjawab amaran Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bahawa rakyat Kedah akan “memaki” Anwar jika dia tidak mengharamkan perjudian di negeri itu.
Kerajaan Kedah sebelum ini mengarahkan pihak berkuasa tempatan supaya tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen perniagaan premis perjudian.
Namun, Mahkamah Rayuan memutuskan arahan itu tidak berperlembagaan kerana melampaui kuasa kerajaan negeri serta menceroboh bidang kuasa Persekutuan dan kuasa menteri kewangan dalam hal perjudian dan loteri.
Mahkamah Persekutuan kemudiannya menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan berkenaan.
Pegawai Anwar dan Kementerian Kewangan kemudian membalas kecaman Sanusi, dengan membangkitkan keputusan kerajaan terdahulu menambah jumlah cabutan khas kepada 22 kali setahun.
Selepas mengambil alih pentadbiran pada Disember 2022, Anwar mengarahkan jumlah cabutan khas itu dikurangkan kepada lapan kali setahun mulai 2023.
Nnnj
