Notis ADUN PH pulangkan peruntukan

SEREMBAN 2 Sept. – Kerajaan Negeri Sembilan sudah menghantar notis kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) pentadbiran terdahulu petang semalam bagi menuntut bayaran balik peruntukan yang mereka terima, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 5 Jun lalu.

Menteri Besar,  Ismail Lasim, berkata notis tuntutan berkenaan antara lain mengandungi jumlah yang perlu mereka bayar, berbeza bagi setiap wakil rakyat terbabit, dengan tempoh 30 hari diberi untuk memulangkan semula peruntukan berkenaan.

“Pejabat Menteri Besar telah menghantar surat (notis) kepada semua ADUN terbabit, petang semalam. Mereka harus memulangkan balik bayaran peruntukan itu dalam masa 30 hari, dengan jumlahnya berpandukan kepada notis yang diberikan.

Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, hanya bekas Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) sudah memulangkan bayaran itu sepenuhnya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 17 ADUN PH dan dua penyelaras DUN daripada Kerajaan Negeri Sembilan terdahulu, diminta pulangkan semula peruntukan diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

Setiap bekas EXCO perlu memulangkan RM150,000 bagi peruntukan Ogos dan September, manakala 10 ADUN biasa PH serta dua Penyelaras DUN perlu memulangkan keseluruhan peruntukan bagi tempoh Julai hingga September, masing-masing berjumlah RM174,000 dan RM150,000.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, wakil ADUN PH, J Arul Kumar yang juga ADUN Nilai, ada bertemu beliau baru-baru ini bagi membincangkan isu tuntutan bayaran balik peruntukan berkenaan.

“Beliau (Arul Kumar) ada meminta dipertimbangkan beberapa perkara, termasuk bayaran balik ini (peruntukan),” katanya.

(Foto FB MBNS)

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment