Keadaan rakyat di Palestin meruncing

GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran keadaan rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel semakin meruncing ketika Program Makanan Sedunia (WFP) semakin kehabisan dana.

Pengarah WFP bagi Palestin Shaun Hughes berkata bahawa mulai September, WFP hanya mampu menyediakan bantuan kepada separuh daripada jumlah penduduk yang memerlukan bantuan.

Jumlah penduduk yang bergantung kepada bantuan WFP di rantau itu meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua tahun lalu.

Keganasan berterusan oleh peneroka haram Israel, pelbagai operasi ketenteraan Israel, sekatan terhadap kebebasan bergerak, kemusnahan kediaman serta pemindahan penduduk semuanya menyumbang kepada keadaan berkenaan.

Hughes menyifatkan keadaan di Semenanjung Gaza sebagai ‘kejam dan tidak menentu’, malah sebuah gudang WFP rosak akibat serangan udara Israel.

Beliau berkata kehadiran tentera Israel menyebabkan keadaan terlalu berbahaya bagi penduduk untuk menghampiri kawasan pertanian yang pernah mereka usahakan.

Kedai roti memerlukan diesel dan alat ganti untuk mengendalikan ketuhar mereka, namun Israel jarang membenarkan bekalan berkenaan dibawa masuk.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi wilayah Palestin yang diduduki, Reinhilde van de Weerdt, berkata air kumbahan dari tandas dapat dilihat di jalanan manakala timbunan sampah setinggi beberapa meter terus menimbulkan risiko kepada kesihatan.

Jumlah kes cirit-birit hampir dua kali ganda antara Januari hingga Ogos.

Related posts

Leave a Comment