AYER KEROH 15 Ogos – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim dicabar menjelaskan pihak yang didakwa `talam dua muka’ sehingga menggugat Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata jika kenyataan Muhammad Kamil itu ditujukan kepada UMNO, parti berkenaan bersedia menerima apa juga keputusan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, tiada sebarang perjanjian atau persefahaman antara UMNO serta Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) yang dibuat sebelum ini untuk membolehkan kedua-dua gabungan itu menyertai pilihan raya secara bersama.
“Saya nak tanya kepada Kamil, mereka yang kamu kata `talam dua muka’ ini siapa? Cakaplah sekarang, UMNO ke, GPS (Gabungan Parti Sarawak) ke, GRS (Gabungan Rakyat Sabah) ke?
Kalau kamu rasa hari ini Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar diuji dengan orang yang `talam dua muka’, saya minta kamu beritahu kepada Perdana Menteri, kalau UMNO ini `talam dua muka’, maka buanglah kami daripada kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Kamil ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, Jumaat lalu dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan kini sedang diuji oleh pihak yang didakwa mengamalkan politik ‘talam dua muka’ dan meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat serta negara.
Beliau dilaporkan mendakwa, pihak tertentu ‘berselingkuh secara terbuka’ ketika kepemimpinan negara sedang berusaha membina semula keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap pentadbiran Malaysia.
Menurut Dr Muhamad Akmal, kerjasama antara UMNO dan PH dalam membentuk Kerajaan Perpaduan tidak pernah disertai perjanjian yang menghalang kedua-dua parti daripada bertembung dalam pilihan raya.
Katanya, keadaan sama turut berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini apabila BN tidak bekerjasama dengan GRS, sedangkan PH pula bertanding bersama GRS.
“Jadi, kami tidak ada masalah ketika itu, kamu boleh, kami pula tidak boleh (kerjasama),” katanya.
Beliau turut memberi contoh PRN Sarawak akan datang dengan berkata BN tidak bertanding, manakala PH dijangka berdepan GPS.
“Kalau GPS lawan PH di Sarawak, kamu nak cakap GPS juga `talam dua muka’ ke?” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan supaya menyampaikan cabaran kepada Anwar supaya mengeluarkan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita (UMNO) rasa okey saja, tak ada masalah. Kamu pun boleh teruskan kerajaan pada hari ini, silakan,” katanya.
