KUALA LUMPUR 30 Julai – Sidang Khas Parlimen membincangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan diadakan 11 Ogos depan, dengan sesi dijadual bermula pukul 10 pagi hingga petang.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, ia akan membuka ruang kepada penelitian menyeluruh terhadap dapatan siasatan dan hala tuju pembaharuan institusi pengurusan haji negara itu.
“Saya sudah berbincang dengan Speaker (Johari Abdul) dan beliau pun setuju. (Sesi) bermula jam 10 pagi sehingga petang,” katanya kepada media selepas merasmikan ibu pejabat baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank, di sini.
Sidang khas itu diadakan susulan keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju mengelaskan semula serta mendedahkan laporan RCI berkaitan TH kepada umum, selain meneruskan siasatan lanjut oleh badan penguat kuasa berdasarkan dapatan yang terkandung dalam laporan berkenaan.
Laporan berkenaan mengandungi 25 syor penambahbaikan, dengan pengurusan tertinggi TH berjaya melaksanakan 75 peratus daripada keseluruhan syor terbabit.
Pada masa sama, prestasi institusi itu turut disokong pengumuman agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 yang menjadi petunjuk bahawa keadaan kewangan dan operasi TH kini semakin stabil.
Kerajaan menubuhkan RCI TH pada 2021 di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi menyiasat pelbagai isu berkaitan tadbir urus, pengurusan dan urus niaga TH, termasuk dakwaan penjualan aset strategik serta keputusan pengurusan yang menimbulkan kontroversi.
Nnn
