TOKYO – Sekurang-kurangnya 13 maut, manakala 20 hingga 30 pekerja gagal dihubungi berikutan letupan di Aeon Mall Kumamoto, susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.1 pada skala Richter di Wilayah Kumamoto, barat daya Jepun semalam,
Polis dan pihak bomba sedang memeriksa sama ada pekerja yang hilang itu terperangkap di dalam bangunan yang rosak serta menjalankan operasi mencari mereka yang berkemungkinan masih terperangkap.
Sebilangan besar pelanggan dipindahkan ke kawasan luar susulan letupan yang berlaku pada kira-kira 6 petang waktu tempatan.
Bagaimanapun, masih belum dipastikan sama ada terdapat pelanggan yang berada dalam senarai mangsa yang hilang.
Pusat beli-belah Aeon itu baru sahaja dibuka semula bulan lalu sebagai kompleks beli-belah dan hiburan yang lebih moden dan pembukaan semula itu juga dilakukan sempena memperingati pemulihannya daripada gempa bumi maut sedekad lalu.
Pada April 2016, pusat beli-belah itu mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi bermagnitud 7.3 menyebabkan bangunan itu terpaksa ditutup selama beberapa bulan sebelum menjalani proses pembinaan semula yang menelan masa lebih lama.
Sewaktu melalui proses pembangunan semula dan pembesaran pada 2017, siling bangunan diperkukuh bagi menahan gegaran gempa bumi, selain pelbagai penambahbaikan lain dari segi keselamatan dan ketahanan struktur.
Sejak kilang milik pengeluar cip Taiwan, Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) mula beroperasi di Kumamoto pada 2024, jumlah pengunjung ke pusat beli-belah itu meningkat lebih lapan juta orang setahun.
Kompleks itu menempatkan kira-kira 200 kedai dan premis perniagaan, sebuah pawagam serta menyediakan ruang letak kenderaan yang mampu menampung 5,000 kenderaan pada satu masa.
Bagaimanapun, gempa bumi kuat yang melanda wilayah itu pada 4.27 petang semalam waktu tempatan, menukar kawasan kompleks itu hanya tinggal rangka bangunan dan timbunan runtuhan.
Nnn
