AS had tempoh tinggal pelajar, wartawan

WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuktamadkan peraturan mengehadkan tempoh tinggal pelajar asing dan wartawan antarabangsa di negara itu, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengetatkan dasar imigresen

Bagaimanapun peraturan itu dikritik kumpulan media dan institusi pendidikan tinggi kerana dikhuatiri menjejaskan kebebasan media serta daya tarikan universiti AS kepada pelajar antarabangsa.

Trump, memuktamadkan peraturan baharu yang mengehadkan tempoh visa pelajar asing kepada maksimum empat tahun, manakala wartawan asing hanya dibenarkan berada di negara itu selama 240 hari bagi setiap kemasukan.

Peraturan yang dijangka berkuat kuasa seawal September itu menetapkan pelajar asing hanya dibenarkan tinggal sepanjang tempoh pengajian mereka, dengan had maksimum empat tahun

Bagi wartawan asing pula, tempoh visa dihadkan kepada 240 hari atau kira-kira lapan bulan, namun mereka boleh memohon lanjutan bagi tempoh yang sama.

Wartawan dari China dikenakan syarat lebih ketat apabila hanya dibenarkan berada di AS selama 90 hari bagi setiap kemasukan, dengan lanjutan maksimum 90 hari.

Langkah itu adalah sebahagian daripada dasar imigresen lebih tegas yang menjadi antara agenda utama pentadbiran Trump, termasuk memperketat penguatkuasaan di bandar-bandar utama serta mengehadkan laluan imigresen yang sah.

Sementara itu, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) menyifatkan sekatan terhadap wartawan asing sebagai tindakan yang menjejaskan kebebasan media.

“Perubahan ini memusnahkan keupayaan wartawan antarabangsa untuk membuat liputan dari AS dan menyukarkan pertubuhan media asing beroperasi di negara ini,” kata Pengurus Advokasi RSF Amerika Utara, Ben Grazda.

RSF turut menggesa Kongres AS campur tangan bagi memastikan wartawan asing dapat terus menjalankan tugas mereka tanpa sekatan yang tidak munasabah.

Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) pula menyifatkan tindakan itu sebagai petanda kemerosotan amalan demokrasi dan kebebasan media di negara berkenaan.

Peraturan itu dimuktamadkan selepas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) menerima hampir 22,000 maklum balas awam sejak cadangan berkenaan dikemukakan pada Ogos 2025.

Related posts

Leave a Comment