AYER KEROH 14 Julai – Keputusan Pakatan Harapan (PH) menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri tidak menjejaskan kestabilan politik mahu pun kedudukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Melaka, kata Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh.
Menurut Ab Rauf, kerjasama dengan PH di Melaka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021 lalu bagi mencerminkan semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Katanya, mereka adalah pelengkap kepada perhiasan perpaduan yang digambarkan di Putrajaya dan keberadaan mereka dalam kerajaan ini umpama bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak
Tegasnya, beliau mengambil pendekatan persefahaman di Putrajaya diwujudkan di Melaka tanpa membentuk kerajaan dengan mana-mana parti untuk mendukung pembentukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri Melaka.
“Kedudukan mereka adalah pelengkap kepada perhiasan perpaduan yang digambarkan di Putrajaya dan mengambil semangat itu, kita berjaya menjalankan pentadbiran kerajaan dengan penuh harmoni dan tanpa prasangka sehinggalah ke hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas tindakan DAP yang membantah pindaan Perlembagaan Negeri Melaka bagi memperkenalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, Ab Rauf menghormati pendirian parti itu dan tidak akan menjadikan perbezaan pandangan sebagai permusuhan.
Beliau turut memberi jaminan segala urusan pentadbiran, pelaksanaan projek pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan diteruskan seperti biasa.
Mengulas lanjut, Ab Rauf menyifatkan hubungan antara kerajaan negeri dan DAP tidak pernah berasaskan sebarang perjanjian rasmi.
“Apa pun keputusan yang dibuat oleh rakan DAP menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan ini dan mengumumkan menarik diri daripada kerajaan, saya tidak boleh menghalang keputusan parti mereka kerana keberadaan mereka dalam kerajaan ini umpama kita bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak,” katanya.
Terdahulu, DUN Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan sehingga tujuh ADUN lantikan diwujudkan bagi memperkukuh institusi legislatif negeri dengan membawa kepakaran dan pengalaman daripada pelbagai bidang.
Menurut Ab Rauf, pindaan itu tidak menjejaskan kedudukan 28 ADUN yang dipilih rakyat, sebaliknya hanya melengkapkan komposisi sedia ada bagi meningkatkan kualiti perbahasan dan penggubalan dasar negeri.
