Matlamat kekalkan kuasa politik Melayu tercapai

SEPANG 12 Julai – Objektif utama Pas untuk mengekalkan kuasa politik Melayu-Islam dalam masyarakat majmuk di Johor tercapai pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) semalam walaupun parti itu tewas di semua 11 kerusi ditandingi.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, keputusan itu juga berjaya mengekang kemaraan PH di Johor dan seterusnya di Parlimen.

Penolong Setiausaha Pas pusat, itu mengakui, gelombang biru secara meluas di Johor menyebabkan kemaraan Barisan Nasional (BN) sukar dipatahkan dan kemenangan besar itu juga bukan satu kejutan

Katanya, BN memiliki pelbagai kelebihan daripada aspek sentimen lokal yang banyak mempengaruhi pola pengundian, menyamai keputusan pada PRN di Sabah.

“Kita hormati pilihan muktamad ‘Bangsa Johor’ kali ini, dengan BN meraih 48 kerusi, PH lapan kerusi dan tiada kerusi untuk Perikatan Nasional (PN). Namun, objektif Pas tercapai, mengekalkan kuasa politik Melayu-Islam dalam masyarakat majmuk dan mengekang kemaraan PH di Johor, seterusnya di Parlimen,” katanya.

Mohd Syahir berkata, antara faktor kemenangan besar BN adalah keberkesanan dan kredibiliti ‘poster boy’ parti itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang meyakinkan, selain peralihan undi atas pagar termasuk sebahagian pengundi PN, khususnya Pas.

“Perlu difahami, psiko-politik pengundi dalam sesebuah PRN cenderung memilih parti atau gabungan yang dilihat mempunyai ‘upaya dan wibawa’ bagi membentuk kerajaan.

“Tanpa calon MB dan tawaran manifesto yang meyakinkan, PN tidak dilihat sebagai alternatif kepada BN serta PH di Johor, selain berdepan penguasaan media serta jentera kerajaan pada peringkat Persekutuan yang dikuasai PH, mahupun negeri (BN),” katanya.

Mohd Syahir berkata, parti yang merekodkan kekalahan terbesar di Johor adalah PH.

“Selesai penjumlahan undi di kesemua 56 DUN, jelas kelihatan watak ‘biggest loser’ di Johor adalah PMX (Anwar Ibrahim) dan DAP.

Ternyata ucapan ‘masuk bakul, angkat sendiri’, di samping pendekatan ‘menabur janji, meninggi diri’, memakan diri PMX dan DAP; mengulangi mimpi ngeri di Sabah.

PMX kini berdepan defisit-kepercayaan yang semakin melebar dalam kalangan pengundi Melayu, Cina dan India, malah semakin negatif di mata anak muda dan netizen,” katanya.

Manakala parti Bersama yang didukung Datuk Seri Rafizi Ramli dan bertanding kali pertama serta hilang deposit di semua kerusi disarankan menjadi ‘sang kancil’ yang sebenar.

Mengenai potensi Pas dan PN bagi pilihan raya akan datang terutama PRU DN Negeri Sembilan, beliau positif gabungan itu masih ada tempat serta memberikan saingan, dengan syarat ia mengemukakan pakej upaya dan wibawa melalui calon MB yang kompeten serta manifesto meyakinkan.

“UMNO tersilap jika menganggap ‘jenama’ BN sudah kembali diterima rakyat.

Peralihan undi kepada BN di Johor lebih bersifat sementara, kerana rakyat mahu menolak DAP/PH, sedangkan PN tidak berjaya memposisikan diri sebagai alternatif, di samping wujud seruan dan dorongan untuk mengundi BN.

“Justeru, persaingan sengit bakal berlaku di Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan Perak, yang mana majoriti mudah hanya boleh dicapai apabila sesebuah parti bersetuju untuk berpihak dengan parti seteru bagi membentuk kerajaan,” katanya.

Katanya, tidak mustahil, PRN Negeri Sembilan bakal menyaksikan peralihan sokongan bagi menobatkan MB baharu daripada BN, mungkin melalui formula peralihan undi atau penyatuan ummah, namun perkara itu terlalu awal untuk diramalkan.

NNNN

Related posts

Leave a Comment