Akses disekat, bayi lelaki Palestin maut

RAMALLAH – Sekatan oleh tentera Israel di barat Ramallah, Tebing Barat yang diduduki menyebabkan seorang bayi lelaki Palestin berusia empat bulan dilaporkan meninggal dunia selepas gagal mendapatkan rawatan perubatan kecemasan.

Gabenor Ramallah dan el-Bireh, Laila Ghannam berkata, doktor di Hospital Arab Specialised mengesahkan kematian Ahmad Marouf Zeid selepas tentera Israel menghalang pemindahannya ke hospital selama lebih sejam walaupun berada dalam keadaan kritikal.

Menurut beliau, tentera Israel turut melepaskan gas pemedih mata bagi menghalang penduduk Palestin daripada melalui sekatan di pintu masuk kampung Deir Ammar.

Ghannam menyifatkan tragedi yang menimpa Ahmad, anak tunggal dalam keluarganya, sebagai “noda terhadap hati nurani kemanusiaan” .

Beliau mendakwa, ia sebahagian daripada dasar yang menyekat kebebasan pergerakan rakyat Palestin serta akses kepada perkhidmatan kesihatan, sekali gus melanggar hak asasi manusia.

Dalam perkembangan berasingan, Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditembak mati oleh tentera Israel di kem pelarian Qalandiya berhampiran Ramallah. Dua lagi dilaporkan cedera.

Sementara itu, sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin maut selepas sebuah dron Israel menyerang sekumpulan penduduk di Jalan Omar al-Mukhtar, di tengah Bandar Gaza, pada Ahad.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment