LRT3 : Sultan Selangor hargai Najib

SEPANG 1 Julai – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan penghargaan kepada Najib Razak, susulan kejayaan menyediakan satu kemudahan pengangkutan rel menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Baginda bertitah, bekas Perdana Menteri itu telah mendengar titah baginda agar kemudahan pengangkutan rel (LRT3) dibina berikutan penduduk berdepan dengan kesesakan lalu lintas khususnya di Lebuhraya Persekutuan.

“Beta telah memaklumkan kepada beliau ketika satu majlis berbuka puasa di rumahnya pada 2015 dan beliau tanpa ragu menerima cadangan beta itu.

Ia susulan keluhan dan rintihan dalam banyak surat yang Beta terima daripada surirumah mengenai suami mereka kerap sampai lewat ke rumah selepas waktu kerja kerana terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas.

Ketika itu, Klang hanya mempunyai dua jambatan yang melintasi Sungai Klang menjadikan masalah kesesakan di waktu puncak bertambah buruk,” titah baginda.

Menerusi Facebook, baginda bertitah, sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran Najib memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018.

Bagaimanapun apabila berlaku pertukaran kerajaan pada tahun 2018, projek LRT3 tergendala lebih 18 bulan, dengan tambahan 19 bulan akibat wabak Covid-19 sehinggalah tahun 2021.

Ketika itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada DAP bersama penasihatnya Tony Phua mengecilkan kos pelaburan untuk projek ini atas alasan kononnya ini merupakan projek ”Mega” sedangkan mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 ini demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.

Ketika itu juga, saiz setiap stesen dikecilkan,  jumlah gerabak kereta api dikurangkan dan lima lokasi cadangan stesen dalam jajaran itu juga telah dibatalkan.

“Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta,” titah baginda.

Bagaimanapun apabila Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau bersetuju meneruskan projek ini dengan mengembalikan semula lima buah stesen yang dibatalkan dan akan turut membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3.

“Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini,” titah baginda yang turut menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri.

Baginda berharap pembukaan LRT3 berupaya mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya serta memberikan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada rakyat khususnya yang tinggal di Klang dan Shah Alam dan bekerja di Kuala Lumpur.

“Beta juga berharap pihak Prasarana dapat menyelenggara dengan baik laluan LRT3 ini supaya dapat beroperasi dengan lancar dan sempurna,” titah baginda.

Justetu, baginda tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata.

“Hakikatnya, projek ini merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya,” titah baginda.

Baginda  berharap kemudahan infrastruktur LRT3 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan lagi hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara.

Nnn

Related posts

Leave a Comment