Hilang kepercayaan amalan politik parti

SEPANG 1 Julai – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, menegaskan keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor bukan mengkhianati perjuangan atau merajuk kerana dipindah  kawasan.

Sebaliknya keputusan itu dibuat selepas hilang kepercayaan terhadap amalan politik yang didakwa lebih dipengaruhi pertimbangan strategi berbanding prinsip.

Marina yang mewakili DAP sebelum ini berkata, titik perubahan yang mendorong beliau meninggalkan politik berlaku pada 12 April lalu selepas satu pertemuan dengan seorang pemimpin yang sebelum ini lantang mengkritik isu Najib Razak.

Katanya, pemimpin itu berkata tidak salah bekas Perdana Menteri itu diberikan pengampunan dan mendapat tahanan rumah kerana jasa yang pernah dia lakukan.

“Pemimpin itu berkata, kita harap Najib hanya mendapat pengampunan selepas Pilihan Raya Umum. Kalau diberi pengampunan sebelum pilihan raya, kepercayaan masyarakat terutama Cina terhadap kita akan terjejas,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Pemimpin tersebut turut bercerita bagaimana mereka akan mengurus persepsi dalam Kongres Khas Parti pada 12 Julai (kini ditangguh ke Ogos) bagi memulihkan keyakinan masyarakat Cina kerana tidak mahu peristiwa Sabah berulang.

Marina dalam hantarannya turut mempersoalkan sama ada memanipulasi kepercayaan rakyat sudah menjadi sebahagian daripada strategi politik dan tindakan itu baginya bercanggah dengan prinsip yang selama ini diperjuangkannya.

Katanya, selama empat tahun,  sememangnya semua mengetahui pendirian UMNO mengenai isu Najib.

“Jika DAP benar-benar menganggap perkara ini sebagai satu garis merah yang tidak boleh dikompromi, mengapa selama empat tahun mereka tetap mengharapkan kerjasama dengan BN (Barisan Nasional) diteruskan?” katanya.

Menurut Marina, Johor sejak awal lagi bukanlah sebuah kerajaan perpaduan dan jika

prinsip benar-benar tidak boleh dikompromi, DAP sepatutnya sudah memulakan pemisahan dengan UMNO di Johor sejak dahulu lagi.

“Namun sehingga menjelang PRN Johor, pemimpin masih berusaha mendapatkan kerjasama dengan BN serta berharap hubungan itu dapat diteruskan. Adakah ini soal prinsip, ataupun soal keperluan politik?,” soal beliau.

Marina mengaku, beliau mungkin tidak pandai berpolitik, terlalu “mentah” tetapi persoalannya adakah memanipulasi kepercayaan rakyat sudah menjadi sebahagian daripada strategi politik?

“Adakah masalahnya kerana aku tidak cukup matang, ataupun kerana penipuan sudah dianggap perkara biasa dalam politik? Politik hanyalah sebuah platform tetapi hubungan dengan masyarakat sudah menjadi seperti sebuah keluarga,” katanya.

Menurut Marina lagi, sebelum membuat keputusan terbesar dalam hidup untuk meninggalkan politik sepenuhnya, pada 20 Mei beliau bertemu seorang lagi pemimpin Melayu dengan harapan dapat mendengar pandangan yang berbeza.

Namun katanya, apa yang didengar hanyalah mengenai jawatan parti, pembahagian kuasa dan siapa rakan yang mendapat jawatan dalam GLC.

“Dia sendiri mengaku merasakan dirinya adakala sekadar “pasu bunga” dalam parti, meluahkan rasa kecewa kerana berasakan parti bersikap pesimis terhadap pemimpin daripada kaum tertentu.

Dia juga mengadu bahawa walaupun memegang jawatan tinggi dalam parti, banyak keputusan penting langsung tidak melibatkan dirinya,” katanya.

Maria juga menarik perhatian mengenai surat rasmi beliau kepada parti ketika menolak tawaran untuk bertanding semula, dengan ayat terakhir : Saya berharap sebagai seorang pemimpin, kita tidak sekali-kali melupakan sebab mengapa rakyat memberikan kepercayaan kepada kita,”

“Dahulu apabila orang lain melakukan perkara yang sama, kita mengatakan ia salah. Hari ini apabila kita sendiri melakukannya…Tiba-tiba ia menjadi betul? Atau sebenarnya prinsip berubah mengikut siapa yang melakukannya?

Kalau begitu…Bukankah itu yang dinamakan double standard?,” katanya.

Bagi Marina, perkara yang paling membimbangkan bukanlah pihak mana yang dipilih tetapi apabila pendirian sentiasa berubah mengikut keadaan, kemudian segala-galanya dibungkus, dijustifikasikan, malah rakyat digalakkan mempercayai apa yang dinamakan sebagai “demi kepentingan yang lebih besar.”

Nnnn

Related posts

Leave a Comment