KUALA LUMPUR 29 Jun – Bekalan bahan api negara ketika ini mencukupi sehingga Ogos depan, manakala bekalan beras termasuk stok penimbal pula mampu menampung keperluan negara bagi tempoh antara lima hingga enam bulan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan juga sedang berusaha memastikan bekalan bahan api terus terjamin bagi memastikan aktiviti harian rakyat, pengangkutan awam, logistik, perniagaan serta sektor kritikal tidak terjejas.
“Bekalan makanan asas seperti ayam, telur, ikan, susu dan buah-buahan pula mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan,” katanya pada sesi penerangan mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat, di sini.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan turut memperkukuh pemantauan harga barangan keperluan menerusi platform PriceCatcher kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, platform itu memantau harga 316 barangan keperluan di lebih 2,000 premis runcit di seluruh negara dengan sokongan kira-kira 850 pegawai pemantau harga.
Akmal Nasrullah berkata fokus kerajaan bukan sekadar menangani kesan krisis semasa, sebaliknya membina daya tahan ekonomi negara agar lebih bersedia menghadapi cabaran global pada masa depan.
Beliau berkata, krisis bekalan global turut membuka ruang kepada negara untuk menstruktur semula ekonomi, dengan keutamaan serta strategi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan terus diperkukuh bagi meningkatkan ketahanan ekonomi negara.
Menurutnya, kerajaan memahami terdapat kebimbangan rakyat terhadap tekanan kos sara hidup akibat perkembangan global, namun asas ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan.
Katanya, kerajaan terus memperkukuh langkah melindungi rakyat menerusi bantuan dan subsidi bersasar termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi petrol bersasar serta Program Jualan Rahmah Madani.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, kenaikan kos baja susulan tekanan rantaian bekalan global dijangka memberi cabaran kepada sektor pertanian, namun kerajaan mengambil langkah awal bagi memastikan bekalan input pertanian negara kekal terjamin.
“Sebanyak 63 peratus keperluan baja negara bergantung kepada sumber import. Berdasarkan penilaian semasa, kos baja diunjurkan meningkat antara 15 hingga 20 peratus, manakala kos makanan ternakan meningkat sekitar 8 peratus,” katanya.
