KUALA LUMPUR 29 Jun – Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) mampu menampung anggaran 223,560 penumpang sehari dengan anggaran 6,210 penumpang setiap jam dan arah (PPHPD) bagi 22 set tren tiga gerabak yang beroperasi bagi laluan itu.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah, berkata, ini antara lain menjadikan unjuran jumlah perjalanan penumpang harian membabitkan 67,000 pengguna sehari, pada tahun pembukaan perkhidmatan LRT3.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai kelewatan dan pertambahan kos pelaksanaan projek LRT yang menimbulkan persoalan terhadap kecekapan kerajaan mengurus projek pengangkutan awam.
Perkhidmatan LRT3 atau dikenali Laluan Shah Alam, menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia sepanjang 37.8 kilometer (km), mula beroperasi hari ini.
Mengenai pertambahan kos pembinaan, Hasbi menafikan dakwaan itu, selain menjelaskan pembangunan projek itu dibuat mengikut kontrak harga tetap walaupun mengalami kelewatan
Kelewatan berpunca akibat beberapa isu integrasi sistem dikesan ketika ujian kritikal, selain ujian integrasi dibuat secara berulang kali dan iteratif hingga semua diselesaikan.
Katanya, kontraktor projek ini juga berdepan denda lewat siap sebanyak RM2.73 juta sehari.
Menjawab soalan tambahan, Hasbi berkata, perkhidmatan LRT3 dijangka tidak mengalami kesesakan ketika waktu puncak biarpun kos asal pembinaannya dikurangkan hampir 47 peratus, pada 2018.
“Mengikut perancangan, fasa kedua (LRT3) ialah menambah lima stesen dan tujuh set tren lagi. Jadi platform yang ada sekarang ini, yang tiga gerabak ini, semuanya sudah ‘it’s just a matter of time’ kalau diperlukan.
“Selepas kajian dahulu, platform enam gerabak dikurangkan kepada empat, tetapi tren yang sekarang tiga. Jadi ertinya memang ada ruang untuk penambahan menjelang 2030,” katanya.
Nnn
