Putra bantu kempen demi agenda Melayu

SEPANG 28 Jun – Putra akan turun padang sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor kali ini walaupun parti itu tidak meletakkan calon, kata Setiausaha Agungnya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif.

Katanya, sebagai parti yang menjalin kerjasama longgar dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), Putra akan memberi sokongan kepada parti-parti rakan IPR terutama Bersatu yang telah mewujudkan inisiatif ini melalui pelbagai bentuk kempen, sama ada ceramah secara fizikal mahupun kempen di platform digital dan media sosial.

“Putra kekal berpegang teguh kepada prinsip penubuhannya untuk menyokong mana-mana parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu dan Bumiputera serta mengangkat agenda yang selari dengan aspirasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Nasrul Ali Hasan berkata, Putra percaya pengundi di kawasan majoriti Melayu yang juga calonnya dari kalangan orang Melayu akan memilih dengan lebih bijak calon terbaik yang akan mewakili mereka sepanjang tempoh lima tahun ke hadapan.

Justeru Putra akan memenuhi jemputan bagi menyertai siri ceramah dan program kempen di kawasan-kawasan yang memerlukan penyertaan Putra termasuk kawasan calon-calon Bersatu.

Katanya, kehadiran Putra adalah sebagai tanda sokongan terhadap rakan-rakan yang berkongsi matlamat perjuangan, tanpa mengganggu perjalanan atau strategi kempen mana-mana parti yang bertanding.

“Putra percaya politik yang matang perlu dibina atas asas prinsip, integriti dan kejujuran, bukannya semata-mata mengejar kemenangan.

Sebagai parti yang berlandaskan perjuangan rakyat, Putra tidak akan mengamalkan pendekatan “matlamat menghalalkan cara” demi keuntungan politik. Putra juga mahu mengelakkan daripada dilihat sebagai parti yang hipokrit atau munafik dengan mengorbankan prinsip perjuangan demi kepentingan jangka pendek,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment