JOHOR BAHRU 28 Jun – Kecewa dengan kepemimpinan terkini PKR negeri dan Pusat, seramai 200 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan keluar parti dan menyertai MIC Bahagian Iskandar Puteri.
Turut sama bekas Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Johor, M Murugan yang mendakwa kepemimpinan parti itu bersikap sambil lewa berhubung aduan dibuat pihaknya sejak sekian lama.
Beliau menyertai PKR sejak 19 tahun lalu, paling lama dalam Cabang Iskandar Puteri dengan jawatan termasuklah Ketua Cabang serta menjadi calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh (2013) dan DUN Layang-Layang (2018)
“Namun hari ini saya buat keputusan tinggalkan PKR dan kembali kepada MIC selepas hampir 20 tahun meninggalkan parti itu.
Saya ibarat pulang ke pangkuan asal perjuangan politik demi masyarakat India,” katanya ketika sidang media selepas mengetuai 200 ahli PKR yang menghantar surat permohonan keahlian MIC di Dewan Taman Nesa, Skudai di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi MIC Cawangan Camp Village, T. Mohan dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Skudai, Nicole Tan Hiang Kee.
Dalam masa sama, Murugan memaklumkan seramai 350 ahli PKR Cabang Kota Iskandar telah keluar parti, dengan sebahagian besar merupakan masyarakat India.
“Sebenarnya yang keluar parti seramai 350 terdiri daripada India, Melayu dan Cina. Ada antara mereka sertai UMNO, MCA, Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan ada juga berhenti terus daripada aktif politik.
Namun majoritinya masyarakat India iaitu seramai 200 sertai MIC. Saya akan ajak lebih ramai lagi ahli-ahli PKR di seluruh Johor untuk sertai MIC, kerana ini satu-satunya parti yang memperjuangkan hak dan kebajikan kami,” katanya.
Sementara itu, Mohan berkata pihaknya menyambut baik keputusan bekas ahli PKR di kawasan berkenaan menyertai MIC yang merupakan parti komponen Barisan Nasional(BN).
Katanya, sejak awal tahun ini, MIC dianggarkan telah menerima seramai 30,000 keahlian baharu, yang menjadikan keanggotaan MIC seluruh negara seramai lebih 350,000 orang.
Nnn
