Amaran matlamat dua negara mengecil

PARIS – Masyarakat antarabangsa digesa terus menyokong penyelesaian dua negara, sambil memberi amaran peluang untuk merealisasikan matlamat itu semakin mengecil susulan konflik yang berpanjangan di Asia Barat.

Kumpulan masyarakat sivil dari Palestin dan Israel membuat gesaan itu ketika wakil kedua-dua pihak berhimpun di Paris , semalam.

Kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menentang keras penubuhan Palestin yang berdaulat dan merdeka sepenuhnya di Tebing Barat serta Gaza yang diduduki, selain didakwa berusaha di lapangan untuk menggagalkan kemungkinan pelaksanaan penyelesaian dua negara.

Pertemuan di Paris itu diadakan menjelang sidang kemuncak G7 di bandar Evian-les-Bains, Perancis minggu depan.

Ia turut dihadiri Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Kaja Kallas dan menteri dari Brazil, Kanada, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Turkiye.

Dalam satu kenyataan, wakil kumpulan masyarakat sivil Palestin dan Israel menggesa pemimpin G7 mengambil tindakan segera kerana rakyat Israel dan Palestin sama-sama terus terperangkap dalam ketakutan, ketidakamanan dan trauma.

“Peluang penyelesaian masih terbuka, namun semakin sempit. Ia memerlukan diplomasi segera yang berasaskan kerjasama dengan masyarakat sivil,” katanya.

Kumpulan berkenaan turut mengemukakan pelan tindakan lapan perkara, termasuk menggesa pelaksanaan gencatan senjata kekal, kemajuan ke arah penyelesaian dua negara dan penghentian perluasan penempatan haram.

Related posts

Leave a Comment