Tunku Zain Al-‘Abidin Tunku Panglima Besar

KUALA PILAH 11 Jun – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan memasyhurkan putera kedua baginda Tunku Zain Al-‘Abidin sebagai Tunku Panglima Besar pada satu istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

Istiadat penuh tradisi itu dimulakan dengan Tuanku Muhriz berkenan mengisytiharkan dan menyerahkan watikah dan pelantikan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan kepada anakanda Tunku Zain Al-‘Abidin.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Istiadat pengurniaan gelaran pusaka Putera Yang Empat Tunku Panglima Besar kepada Tunku Zain Al-‘Abidin itu turut disaksikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.

Pemasyhuran itu dibuat bagi mengisi kekosongan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandang oleh Tunku Datuk Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.

Baru-baru ini, Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan oleh Undang Yang Empat sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang dilangsungkan di sebuah resort di Alor Gajah, Melaka.

Bagaimanapun Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali, berkata, istiadat itu tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.

Sehubungan itu gelaran Yang Dipertuan Besar yang cuba diambil oleh Tunku Nadzaruddin adalah tidak berkuat kuasa.

“Adalah dimaklumkan bahawa majlis yang dikatakan sebagai “Istiadat Pemasyhuran” Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun 2026 adalah tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.

“Oleh itu, gelaran Yang Dipertuan Besar yang cuba diambil oleh Tunku Dato Seri Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar adalah tidak berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Tunku Zain Al-‘Abidin, 44, diputerakan pada 1982, merupakan pendukung pemulihan perlembagaan dan reformasi institusi di Malaysia yang komited ke arah pembinaan sebuah negara lebih adil dengan setiap rakyat Malaysia diberi peluang saksama untuk maju dan berjaya.

Baginda kemudian mendapat pendidikan di Sekolah Alice Smith Kuala Lumpur, Marlborough College di United Kingdom dan London School of Economics and Political Science serta memperoleh Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Politik Perbandingan.

Tunku Zain Al-‘Abidin kini berkhidmat sebagai Canselor Universiti UCSI, Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Presiden Kolej ICAN serta Felo Diraja di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Felo Bersekutu di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sebagai Pemegang Amanah Yayasan Jeffrey Cheah dan Penaung Program Seni dan Kebudayaan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan, baginda secara aktif memperjuangkan akses yang lebih luas kepada pendidikan berkualiti, pembelajaran holistik dan pembentukan pemimpin masa depan yang seimbang.

Selain itu, baginda juga adalah Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) selain mengasaskan IDEAS Autism Centre yang kini mengendalikan tiga pusat iaitu di Rawang, Nilai dan Port Dickson serta IDEAS International Secondary School di kampus di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Dalam dunia korporat, Tunku Zain Al-‘Abidin berkhidmat sebagai Pengerusi Omesti Berhad, Excelerate Malaysia dan EnotechPictures selain Ahli Lembaga Deutsche Bank Malaysia, Prima Gading Corporation, dan Uni Enrol serta Penasihat kepada Kumpulan UCSI.

Tunku Zain Al-‘Abidin juga adalah Pemegang Amanah bagi beberapa yayasan termasuk Yayasan Chow Kit, Yayasan Munarah, Yayasan IDEAS, Yayasan Genovasi dan Yayasan Tinggi dengan kebanyakannya menyokong pendidikan, pembangunan belia dan pemerkasaan komuniti.

Penyokong kuat seni dan budaya, baginda adalah seorang pemain piano dan pernah membuat persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia selain mengetuai projek utama untuk memberikan nafas baharu kepada lagu kebesaran Negeri Sembilan serta mengarang sebuah buku memperingati pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.

Sejak 2008, baginda aktif menulis ruangan akhbar dengan menerbitkan beberapa buku hasil kompilasi artikelnya.

Tunku Zain Al-‘Abidin pernah berkhidmat dengan Parlimen United Kingdom, Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta merupakan seorang Eisenhower Fellow.

Baginda juga adalah Presiden Emeritus Persatuan Squash Negeri Sembilan serta Penasihat Persatuan Tenis Negeri Sembilan dan Persatuan Pickleball Negeri Sembilan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment