Pas berdepan pelbagai kesukaran

SEPANG 10 Jun – Kerjasama Pas dengan Bersatu memperlihatkan pelbagai kesukaran dan  kekangan sehingga membawa kepada keputusan menghentikan hubungan politik antara kedua-dua pihak, kata Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden Pas itu berkata, antara isu yang timbul ialah kesukaran Pas untuk membabitkan Ahli Parlimen dan pimpinan tertentu dalam Bersatu bagi menyertai program anjuran parti itu.

Beliau mengambil contoh, tindakan Pas Melaka menjemput Ketua Srikandi Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin, ke program Pas sebelum ini juga didakwa tidak disenangi oleh sebahagian pihak dalam Bersatu.

“Jika jemputan seperti itu pun sudah menimbulkan rasa tidak selesa, apatah lagi jika ia membabitkan pasukan yang dikenali sebagai RESET untuk duduk bersama dalam gerak kerja Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, usaha Pas untuk menyatukan parti-parti lain seperti Berjasa dan Pejuang ke dalam PN turut menemui jalan buntu akibat bantahan Bersatu.

“Mungkin Bersatu khuatir penerimaan parti ini akan membuka ruang kepada bekas pimpinan mereka untuk menyelinap masuk melalui parti-parti tersebut. Hal ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Tambahan pula kata Tuan Ibrahim,  tindakan Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan serta kenyataan provokatif sebahagian pemimpin Bersatu yang menyerang Pas secara terbuka, semakin kerap berlaku.

“Pas akhirnya tidak mempunyai pilihan lain melainkan membawa isu kerjasama ini kepada Majlis Syura dan hasil kajian serta mesyuarat dibuat, Majlis Syura mengemukakan pandangannya untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pas Pusat.

“Selepas melalui perbincangan yang panjang, Pas membuat keputusan secara sebulat suara untuk menghentikan kerjasama dengan Bersatu,” katanya.

Bagaimanapun , Tuan Ibrahim menjelaskan keputusan ini bukan bermaksud Pas mengutamakan permusuhan sebaliknya memberi ruang kebebasan bagi setiap parti untuk menentukan hala tuju masing-masing.

Katanya, keputusan Pas menghentikan kerjasama politik bukan bermaksud memutuskan hubungan dan silaturahim.

“Hubungan dan ukhuwah antara ahli serta pimpinan kedua-dua parti akan terus terjalin dan terpelihara. Saya berharap kita akan terus bersatu demi kebaikan ummah,” katanya

Nnnn

Related posts

Leave a Comment