Chin Tong cuba alih isu sebenar BN solo

SEPANG 5 Jun –  Barisan Nasional (BN) Johor membidas Liew Chin Tong yang cuba mengelirukan rakyat dan bersikap double standard apabila mendakwa keputusan BN bertanding solo adalah untuk kembali kepada sistem satu parti yang ditolak rakyat.

Setiausahanya, Abdul Halim Suleiman berkata, dalam sistem demokrasi, setiap parti berhak bertanding sendiri bagi mendapatkan mandat rakyat dan ianya tidak menghapuskan pembangkang atau mewujudkan negara satu parti.

“Kalau bertanding solo pun dianggap mahu wujudkan sistem satu parti, maka logiknya apabila PH pernah bertanding hampir semua kerusi pada PRU dan PRN sebelum ini, adakah PH juga mahu mewujudkan sistem satu parti?,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Chin Tong yang juga Pengarah Strategik DAP, yang mendakwa UMNO mahu menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk mengembalikan kedudukannya sebagai parti dominan, seperti pada era satu parti pra-2018.

Bagaimanapun, kata Chin Tong, PRU 2018 mengakhiri era “satu parti” mendominasi landskap politik Malaysia, dan tiada lagi parti dominan sebaliknya semua parti perlu bekerjasama dan bertolak ansur bertanding serta menubuhkan kerajaan.

Abdul Halim menerusi kenyataan di Facebooknya berkata, pada Konvensyen PH di Johor baru-baru ini, pemimpin PH sendiri mengugut akan bertanding semua kerusi sekiranya rundingan dengan BN gagal malah terdapat laungan “Tolak UMNO”.

“Saya nak tanya, masa PH mahu tanding semua kerusi, ia dipanggil demokrasi. Tetapi apabila BN mahu tanding sendiri, tiba-tiba ia dianggap mahu menghidupkan sistem satu parti. Ini jelas menunjukkan double standard PH,” katanya.

Menurut Abdul Halim, Chin Tong cuba mengalihkan isu sebenar – iaitu keputusan BN Johor untuk bertanding solo kepada naratif lama ‘takut kembali kepada dominasi UMNO.

“Sedangkan perbahasan sebenar yang sedang berlaku ialah siapa mempunyai rekod pentadbiran dan tawaran terbaik untuk Johor pada masa depan, bukannya soal menghidupkan semula era satu parti.

“BN Johor tidak meminta rakyat kembali kepada era lama. BN Johor meminta rakyat menilai rekod pentadbiran semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keputusan PRU2022 yang digunakan Chin Tong tidak lengkap.

Katanya, Chin Tong mengguna angka bahawa PH menang 15 daripada 26 kerusi Parlimen Johor dalam PRU15 untuk menunjukkan BN semakin lemah tetapi tidak pula menyebut BN menang 40 daripada 56 kerusi DUN.

Ahli Parlimen Iskandar Puter itu juga tidak menyebut Kerajaan Johor hari ini dipimpin BN dengan majoriti selesa dan banyak dasar dan projek pembangunan Johor sejak 2022 digerakkan di bawah pentadbiran BN.

“Maknanya pengundi Johor membezakan antara pilihan raya negeri dan pilihan raya persekutuan. Jadi gunakan keputusan PRU sahaja untuk membuat ramalan PRN adalah analisis yang selektif,” katanya.

Dalam pada itu, DAP yang menentang dominasi UMNO, dan selama lebih 20 tahun membina naratif bahawa UMNO adalah punca segala masalah negara kini bergantung kepada UMNO

Katanya, hari ini DAP berada dalam kerajaan bersama UMNO, mempertahankan kerajaan yang disokong UMNO dan DAP memerlukan kerusi BN untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya.

“Jadi persoalannya: Jika UMNO begitu tak relevan dan ditolak rakyat seperti didakwa Chin Tong, kenapa DAP masih memerlukan UMNO untuk terus memerintah?,” katanya.

Berhubung ramalan Timbalan Menteri Kewangan itu bahawa PRU16 akan menyaksikan PH dan PN sebagai dua blok utama sementara BN semakin mengecil, Abdul Halim menyifatkan Chin Tong seperti tukang tilik di Jalan Wong Ah Fook.

Katanya , politik Malaysia sejak 2018 membuktikan bahawa hampir semua ramalan besar gagal, contohnya PH tumbang selepas 22 bulan, PN muncul secara tiba-tiba sebagai kerajaan, BN kembali menjadi ‘kingmaker’ selepas PRU15 dan Kerajaan perpaduan yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil akhirnya terbentuk.

“Jadi dakwaan BN akan pupus hanyalah spekulasi politik, bukan fakta,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment