Hezbollah tolak hasil rundingan

BEIRUT – Hezbollah menolak hasil rundingan langsung antara Lubnan dan Israel, yang disifatkan sebagai “projek Israel Raya”.

Ketua Hezbollah Naim Qassem dalam satu kenyataan sempena ulang tahun kematian bekas Pemimpin Tertinggi Iran Ruhollah Khomeini, berkata hasil rundingan itu “ditolak sepenuhnya oleh sebahagian besar rakyat Lubnan.”

Beliau berkata persefahaman gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS) itu mencerminkan visi AS dan Israel terhadap masa depan Lubnan serta bertujuan meletakkan negara itu di bawah apa yang disifatkannya sebagai “projek Israel Raya”.

Kenyataan bersama Lubnan-AS-Israel yang dikeluarkan awal Khamis memaklumkan Beirut dan Tel Aviv bersetuju dalam rundingan di Washington untuk melaksanakan gencatan senjata berdasarkan penghentian sepenuhnya serangan Hezbollah dan pengunduran semua anggota kumpulan itu dari kawasan selatan Sungai Litani.

Presiden Lubnan Joseph Aoun berkata AS akan menentukan masa dan mekanisme pelaksanaan gencatan senjata itu, yang boleh bermula dalam tempoh 24 jam selepas mendapat kelulusan.

Ketua Hezbollah itu menuduh Israel cuba “mencapai secara politik apa yang gagal dicapainya secara ketenteraan” dan menegaskan penempatan Israel di utara negara itu “tidak akan selamat” selagi kampung di Lubnan terus diserang.

“Kami hanya menumpukan kepada usaha menamatkan pencerobohan, menjamin gencatan senjata dan memastikan pengunduran Israel,” katanya sambil menambah selagi pendudukan Israel berterusan, “penentangan akan diteruskan.”

Related posts

Leave a Comment