KUALA TERENGGANU 2 Jun – Barisan Nasional (BN) mempunyai asas kukuh bagi meletakkan calon untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, kata Pengerusinya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata kerajaan BN Johor terbentuk sebelum pewujudan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.
“Kita nak betulkan persepsi bahawa kerajaan Johor adalah kerajaan BN sebelum kewujudan kerajaan perpaduan di peringkat nasional. Jadinya, BN mempunyai asas kukuh bagi meletakkan calon bertanding di semua 56 kerusi DUN di Johor,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ditemui pada majlis penutupan Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026, di sini, hari ini diminta mengulas perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH), berhubung PRN itu.
Beliau juga memaklumkan bahawa Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi ada memaklumkan kepadanya untuk membubarkan DUN semalam.
“Menteri Besar Johor ada memaklumkan kepada saya hasrat kerajaan negeri untuk membubarkan DUN atas perkenan Tunku Mahkota Ismail bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 diadakan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, UMNO akan mengadakan perbincangan di kalangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu terutama mengenai pembubaran DUN Johor.
Katanya, perbincangan mengenai pembubaran DUN Johor termasuk strategi akan digunakan akan turut diadakan membabitkan semua pemimpin parti komponen BN dan semua pengerusi parti di peringkat negeri.
“Kita akan mengguna pakai sistem jentera BN negeri seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN,” katanya.
