Tahniah kejayaan cemerlang TH

SEPANG  2 Jun – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) atas kejayaan cemerlang menerima Labaytum Diamond Award dua tahun berturut-turut.

Baginda menerusi satu kenyataan menyifatkan pengiktirafan berprestij kali ke-5 tersebut sebagai bukti jelas kepada kecekapan, profesionalisme dan komitmen tinggi seluruh warga Tabung Haji dalam mengurus serta menyelaras operasi haji Malaysia.

“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan Tabung Haji, malah mengharumkan nama Malaysia dan memperkukuhkan reputasi negara sebagai peneraju dalam pengurusan ibadah haji yang sistematik, cekap dan berteraskan prinsip-prinsip syariah,” titah baginda.

Baru-baru ini, TH menerima Anugerah Labaytum Diamond 2026 daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan TH dalam pengurusan haji, penyampaian perkhidmatan kepada jemaah serta peranannya sebagai institusi kewangan Islam terkemuka.

Anugerah bagi tahun kedua berturut-turut itu juga adalah pengiktirafan kali kelima itu adalah satu penghormatan besar kepada TH dan Malaysia.

Dalam pada itu, baginda yang pernah menunaikan ibadah haji sebanyak dua kali serta beberapa kali mengerjakan umrah melalui bimbingan TH turut menzahirkan penghargaan terhadap mutu perkhidmatan, kebajikan dan pengurusan yang disediakan TH yang disifatkan Baginda sebagai amat baik, tersusun serta sentiasa mengutamakan keselesaan dan keselamatan para jemaah.

Baginda turut mengimbas kembali sejarah penubuhan TH  yang dicetuskan oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, seorang tokoh ilmuwan dan ekonomi tersohor negara.

Melalui pemikiran jauh beliau pada tahun 1959, satu model simpanan dan pelaburan patuh syariah diwujudkan bagi membantu orang Melayu Islam menyimpan wang secara terancang untuk menunaikan ibadah haji tanpa perlu menjual aset atau berhutang. Visi beliau itu ternyata telah membantu jutaan orang Melayu Islam menunaikan Rukun Islam kelima dengan kaedah yang sistematik.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada para jemaah haji Malaysia yang sentiasa menunjukkan disiplin, adab dan akhlak yang tinggi sepanjang berada di di Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah.

Titah baginda,  sikap tertib, kerjasama yang baik serta kepatuhan kepada peraturan yang ditunjukkan oleh jemaah Malaysia sering menjadi contoh dan mendapat pujian daripada pihak berkuasa Arab Saudi serta jemaah antarabangsa.

Baginda percaya bahawa kecemerlangan yang dicapai pada musim haji tahun ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan TH khususnya Pengerusi TH, Abdul Rashid Hussain serta petugas-petugas haji dan para jemaah sendiri yang sentiasa mengutamakan semangat kebersamaan serta memelihara nama baik negara.

Justeru baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa TH akan terus mengekalkan kecemerlangan serta berusaha secara berterusan untuk menambah baik operasi dan mutu perkhidmatannya dari semasa ke semasa.

Baginda berharap institusi tersebut akan terus menjadi kebanggaan negara dan kekal komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para Dhuyufurrahman demi kemaslahatan ummah serta kesejahteraan umat Islam seluruhnya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment