Amirudin, Saifuddin ganti Nurul Izzah

PETALING JAYA 26 Mei – Naib Presiden PKR,  Amirudin Shari dan  Saifuddin Nasution Ismail dilantik sebagai pengarah pilihan raya bersama bagi menggantikan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar.

Bagaimanapun dalam fasa seterusnya, Nurul Izzah akan terus memainkan peranan strategik dengan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan keupayaan jentera pilihan raya PKR serta aliran kerja.

Setiausaha Agung PKR,  Dr Fuziah Salleh dalam satu kenyataan berkata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan, Azman Abidin dilantik sebagai Pengarah Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya (war room).

Azman akan dibantu bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Ruji Ubi.

Fuziah berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang berlangsung semalam, dan pelantikan itu adalah sebahagian daripada penyelarasan strategik parti bagi melancar dan memperkukuhkan koordinasi proses kerja dalam persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Fuziah, dalam satu kenyataan, hari ini berkata, perubahan beberapa jawatan dalam PKR, adalah sebahagian daripada penyusunan semula strategik parti bagi memastikan gerak kerja pilihan raya parti terus diperkemas, diselaraskan dan digerakkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat.

“Penyusunan ini juga kesinambungan kepada asas gerak kerja dibina sebelum ini, termasuk pengukuhan struktur pilihan raya, penyelarasan antara negeri dan cabang, serta peningkatan penggunaan data, sistem dan teknologi dalam operasi lapangan melalui pengenalan sistem pilihan raya TERAS,” katanya.

Beliau berkata penekanan dibuat adalah sebahagian daripada pelaburan parti terhadap setiap anggota akar umbi supaya kekuatan PKR terus dibina secara menyeluruh, berterusan dan berakar di semua peringkat.

Beliau mengakui,PKR sedar bahawa kekuatan parti tidak hanya terletak pada pimpinan di peringkat pusat, tetapi mencakupi ribuan ahli di lapangan yang terus bekerja, mendengar, menyantuni dan membawa suara rakyat setiap hari.

“Dalam semangat yang sama, PKR merakamkan penghargaan kepada semua anggota baharu yang telah menyertai parti, dengan jumlah keanggotaan baharu dari April ke Mei (lalu) mencecah seramai 5,936 orang.

“PKR kini bergerak ke fasa seterusnya dengan tekad untuk merapatkan saf parti, memperkukuh keupayaan akar umbi dan memastikan seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan yang fokus, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran pilihan raya akan datang,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment