SEPANG – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua memberi keterangan selama kira-kira 40 minit susulan kenyataannya menerusi platform Facebook mengenai Rukun Negara dan dakwaan kuasa Raja di negara ini adalah terhad.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Saya menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira 1.30 tengah hari tadi bagi mengatur temu janji untuk memberikan kenyataan saksi berhubung hantaran saya mengenai Rukun Negara.
Saya menawarkan diri untuk hadir ke IPD Shah Alam esok pagi, namun inspektor yang bertanggungjawab memaklumkan beliau menerima arahan supaya kenyataan diambil hari ini juga.
“Justeru , temu janji ditetapkan di Petaling Jaya hari ini jam 4 petang. Saya memberikan kerjasama penuh kepada dua pegawai IPD Shah Alam yang sangat profesional,” katanya.
Menurut Pua, pihak polis memaklumkan siasatan dimulakan selepas menerima lebih 80 laporan polis daripada seluruh negara dengan laporan pertama dibuat di Sri Muda, Shah Alam.
“Dalam keterangan saya mengesahkan saya sendiri menulis hantaran Facebook itu tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak lain.
“Apabila ditanya mengenai tujuan hantaran itu dibuat, saya menjawab bahawa ia untuk berkongsi pandangan saya mengenai Rukun Negara.
“Apabila ditanya mengenai maksud hantaran itu, saya menjawab bahawa ia adalah seperti yang ditulis,” katanya.
Pua turut memaklumkan masih menunggu perkembangan lanjut sama ada pihak berkuasa akan mengambil tindakan lanjut terhadapnya.
Berhubung kemungkinan ada saksi lain bakal dipanggil untuk memberi keterangan, Pua memberitahu, dia tidak dimaklumkan mengenainya.
Semalam media melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan polis membuka siasatan terhadap Pua susulan hantaran dimuat naik di laman Facebook miliknya kelmarin mengulas mengenai isu titah dan Rukun Negara.
Tindakan itu susulan Pua mendakwa kuasa raja secara keseluruhannya di bawah sistem Raja Berperlembagaan diamalkan di negara ini terhad.
Beliau mendakwa, sistem itu terhad kepada kepada aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berperlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Nnnn
