KUALA BERANG 19 Mei – Kelayakan asas kemasukan ke universiti awam (IPTA) masih berpaksikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata keputusan berkenaan sudah dimuktamadkan di peringkat Jemaah Menteri dan menjadi asas utama dalam sistem kemasukan pelajar ke IPTA melalui Unit Pusat Universiti (UPU) Online.
“Selagi saya jadi menteri, saya tidak akan benarkan pendidikan tanpa ada asas SPM. Tidak kiralah ada yang belajar di sekolah ini ke sekolah itu ke, asasnya nak masuk ke UPU tetap perlu ada SPM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kembara Pendidikan Tinggi @ Terengganu (PKPT@T) dan Program Kampung Angkat MADANI (PKAM) di SMK Menerong di sini, hari ini.
Menurutnya, Unit Pusat Universiti (UPU) Online dibangunkan dengan asas penilaian yang standard bagi memastikan semua pelajar dinilai secara adil berdasarkan keputusan SPM.
“Kerajaan tidak akan membuka ruang kemasukan ke IPTA berdasarkan sijil atau kelayakan alternatif lain selain SPM sebagai asas utama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan bahawa dasar tersebut bersifat diskriminasi terhadap mana-mana aliran pendidikan termasuk sekolah agama dan sekolah pondok.
Menurutnya, semua pelajar tanpa mengira latar belakang digalakkan untuk menduduki SPM bagi melayakkan diri ke peringkat pengajian tinggi.
“Kita tidak mendiskriminasi mereka kerana pelajar sekolah pondok dan sekolah agama juga digalakkan untuk mengambil SPM bagi tujuan melanjutkan ke IPTA,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan tunduk tekanan mana-mana pihak yang mahu mengubah asas kemasukan IPTA demi kepentingan mereka.
“Kalau nak suruh ubah untuk kepentingan mereka, ‘no way’. Dia yang perlu sesuaikan dengan sistem pendidikan kita,” katanya.
Asas SPM bukan sahaja menjadi penanda aras akademik tetapi juga memastikan keseragaman dalam proses pemilihan pelajar ke universiti awam.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pelajar daripada luar sistem pendidikan kebangsaan — termasuk lepasan sekolah antarabangsa, sekolah persendirian Cina (UEC/SMPC), maahad tahfiz dan sekolah agama swasta — kini dibenarkan memohon ke universiti awam melalui sistem UPUOnline bagi kursus tertentu.
Kebenaran itu adalah dengan syarat mereka lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat SPM. Kerajaan hanya membuka “laluan akses”, bukan mengiktiraf sistem pendidikan lain seperti UEC.
Nnnn
