SEPANG 19 Mei – Barisan Nasional (BN) menolak dakwaan bahawa gabungan itu mengkhianati Kerajaan Perpaduan susulan keputusan BN Johor untuk bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abd Kadir berkata, persefahaman dan asas pembentukan kerajaan Perpaduan adalah atas tanggungjawab kenegaraan untuk mengelakkan negara terheret dalam polemik politik berpanjangan.
“Persefahaman ini disepakati hingga mandat berakhir. Justeru tidak timbul persoalan Barisan Nasional mengkhianati Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, BN akan terus memainkan peranan memelihara kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
Menurut Zambry, kepemimpinan BN menghormati pendirian yang dibawa BN Johor berhubung hala tuju dan persiapan menghadapi PRN selaras pandangan semua pihak dalam parti komponen negeri itu.
Sabtu lalu, Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi mengumumkan akan bertanding di kesemua kerusi DUN dalam PRN akan datang selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO negeri.
Susulan itu, ketika Konvensyen Pakatan Harapan (PH) berlangsung Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru Ahad lalu terdengar laungan ‘tolak UMNO’, ‘pengkhianat’ dan ‘reformasi’.
Pengerusi PH Anwar Ibrahim kemudiannya menegaskan bahawa gabungan parti itu akan bertanding di semua kawasan sama ada pada PRN mahu pun Pilihan Raya Umum (PRU) selepas dikejutkan dengan keputusan BN negeri itu.
Beliau turut memaklumkan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengadakan PRU lebih awal.
BN Johor membentuk kerajaan negeri sebelum Kerajaan Perpaduan dibentuk setelah BN Johor memperoleh 40 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN pada PRN Mac 2022 yang menyaksikan pertembungan calon-calon BN, PH dan PN.
Nnn
