Rafizi, Nik Nazmi ambil parti Bersama

PETALING JAYA 17 Mei –  Dua orang bekas pemimpin PKR akhirnya menjawab persoalan hala tuju politik mereka sejak beberapa minggu lalu, apabila mengesahkan akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia atau Malaysian United Party (MUP).

Bekas Timbalan Presiden PKR,  Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad akan menerajui parti itu yang ditubuhkan pada 2 Disember 2016 di Pulau Pinang.

Pengasas dan Presiden Parti Bersama Malaysia, Tan Gin Theam, secara simbolik menyerahkan sijil pendaftaran parti itu kepada Rafizi dan Nik Nazmi di PJ Performing Arts Centre di hadapan lebih 2,000 penyokong, hari ini.

Keputusan mengambil alih parti sedia ada itu dibuat kurang sebulan selepas Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan dan bekas timbalan presiden PKR, menyatakan beliau sedang mencari jalan terbaik untuk mendesak reformasi, sama ada dari dalam parti mahupun luar.

Susulan itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dan Nik Nazmi yang mewakili Setiawangsa mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini seterusnya akan mengosongkan kerusi yang mereka wakili.

Surat pengosongan kerusi Parlimen akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul esok dan kepada Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh pada Selasa.

Related posts

Leave a Comment