JOHOR BAHRU 17 Mei – Pakatan Harapan (PH) Johor menyambut hasrat Barisan Nasional (BN) untuk bertanding secara solo dengan tekad ‘menguburkan’ BN buat kali kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan datang.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, BN pernah tewas di Johor apabila PH berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mencipta kemenangan besar pada PRN 2018.
Justeru Pengerusi Amanah Johor itu berkata, PH tidak akan sesekali menyerah kalah walaupun BN Johor telah mengumumkan hasrat untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.
“BN pernah kalah di Johor dan PH pernah menang 38 kerusi DUN serta memerintah negeri ini. Insya-Allah dalam pilihan raya negeri kali ini kita akan kuburkan mereka kembali untuk kali kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
“Kita tidak mungkin menyerah kalah sebelum berjuang. Sebagai seorang pejuang, kita tidak akan mengaku kalah sebelum tumbang,” katanya.
Ahli Parlimen Sri Gading itu turut menarik perhatian bahawa tindakan kerajaan negeri melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan membuktikan BN bimbang kehilangan sokongan rakyat terutama di kawasan bandar.
Menurutnya, terdapat tujuh kawasan DUN di Johor mempunyai lebih 100,000 pengundi, tetapi kerajaan negeri tidak berani melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Katanya, sekiranya persempadanan semula dilakukan, jumlah kerusi bandar akan bertambah dan akan memberi kelebihan kepada PH.
Beliau berkata, Johor masih menjadi negeri yang kuat dipengaruhi PH apabila gabungan itu kini memiliki 14 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.
Tambahnya, pengalaman PH mentadbir negara selama 22 bulan turut menjadi pengajaran besar selepas gabungan itu didakwa dikhianati ketika menerajui kerajaan Persekutuan.
“Kita tidak akan berhenti. Kita akan teruskan perjuangan rakyat Johor dan Bangsa Johor untuk mentadbir negeri ini dengan lebih baik,” katanya.
Terdahulu sebelum berucap, ketika ditanya sama ada PH masih terbuka untuk meneruskan hubungan dengan BN di Johor, Aminolhuda berkata, pihaknya tidak mahu dilihat terlalu mengharapkan kerjasama tersebut.
“Kita tidak mahu ibarat hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Dia dah buat macam itu, tak mengapalah,” katanya.
Beliau turut mengakui pendirian BN Johor itu secara tidak langsung memudahkan hala tuju PH menjelang konvensyen dan PRN akan datang.
Bagaimanapun, beliau berkata hubungan antara PH dan BN di peringkat Persekutuan masih kekal baik seperti ditegaskan pimpinan pusat kedua-dua gabungan.
Semalam, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor mengumumkan BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepemimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri.
Pada pilihan raya Mac 2022 menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi, PH memenangi 12 kerusi, Perikatan Nasional (tiga) dan Muda (satu).
Nnnnnn
