SEPANG 17 Mei – Pendirian Barisan Nasional (BN) Johor bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara solo pada pilihan raya akan datang adalah bagi memastikan kestabilan politik dan meneruskan kesinambungan pembangunan negeri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, langkah itu bukanlah didorong sikap sombong, pentingkan diri atau tamak.
“Tujuannya jelas. BN menawarkan kesinambungan kestabilan dan mahu agenda “Maju Johor 2030” yang berbaki empat tahun lagi disempurnakan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya.
Speaker DUN Johor yang juga ADUN Rengit itu berkata negeri itu turut terpalit politik tidak stabil di peringkat pusat selepas Pilihan Raya Umum 2018.
“Perdana Menteri bertukar sebanyak tiga kali dalam tempoh satu penggal dan ia turut berlaku di Johor yang mana menteri besar juga bertukar sebanyak tiga kali.
Ketidakstabilan itu memberi kesan kepada ekonomi negeri,” katanya.
Menurut beliau, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi tidak mensia-siakan mandat rakyat yang memberikan sokongan majoriti dua pertiga kepada BN pada PRN Johor 2022.
Katanya, Onn dilihat berjaya memanfaatkan mandat rakyat dan mampu mengurus hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan sehingga berjaya memperkukuh kedudukan ekonomi negeri.
“Hasil negeri Johor meningkat kepada RM2.1 bilion pada tahun 2024 meningkat lagi kepada RM 2.67 Bilion pada 2025. Negeri Johor menerima pelaburan yang tertinggi di Malaysia
“Justeru ada alasan kuat BN mahu menubuhkan kerajaan majoriti 2/3 yang lebih kukuh,” katanya.
Semalam Onn Hafiz selaku Pengerusi BN Johor menerusi satu hantaran di Facebook rasminya mengesahkan akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN yang dijangka tidak lama lagi.
Pada pilihan raya Mac 2022 menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi, PH memenangi 12 kerusi, Perikatan Nasional (tiga) dan Muda (satu).
Nnnn
