ISLAMABAD – Kementerian Luar Pakistan menolak laporan agensi berita yang mendakwa Islamabad “secara senyap” membenarkan pesawat tentera Iran, termasuk pesawat pengintip diletakkan di pangkalan udara Pakistan.
Ia kononnya bagi melindungi pesawat sekutu daripada kemungkinan serangan udara Amerika Syarikat (AS), sambil menyifatkan spekulasi itu sebagai cubaan menjejaskan usaha damai serantau yang sedang berlangsung.
Jurucakap Pakistan menjelaskan, beberapa pesawat dari AS dan Iran tiba di Pakistan selepas gencatan senjata dan semasa pusingan awal rundingan antara Washington dan Tehran di Islamabad, bulan lalu.
Menurutnya, pesawat-pesawat tersebut digunakan untuk memudahkan pergerakan kakitangan diplomatik, pasukan keselamatan dan pegawai pentadbiran yang terlibat dalam proses rundingan.
Katanya, sebahagian pesawat dan anggota sokongan kekal sementara di Pakistan sebagai persediaan bagi pusingan rundingan seterusnya.
Beliau menambah walaupun rundingan pusingan kedua tidak diadakan, lawatan Menteri Luar Iran ke Islamabad tetap dipermudah melalui pengaturan logistik dan pentadbiran yang sama.
Pesawat Iran yang kini berada di Pakistan tiba semasa tempoh gencatan senjata dan langsung tidak mempunyai kaitan dengan sebarang pelan kontingensi ketenteraan atau usaha perlindungan aset.
Dakwaan sebaliknya adalah spekulatif, mengelirukan dan jauh tersasar daripada konteks sebenar.
CBS News semalam menerbitkan laporan eksklusif memetik dua pegawai AS yang tidak dinamakan, mendakwa beberapa hari selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan gencatan senjata dengan Iran pada April, Tehran menghantar beberapa pesawat ke Pangkalan Udara Nur Khan di Rawalpindi.
Laporan itu menyebut, antara aset ketenteraan yang dihantar ialah pesawat RC-130 Tentera Udara Iran, iaitu varian pengintip dan pengumpulan risikan daripada pesawat pengangkut taktikal Lockheed C-130 Hercules.
Nnn
