Hantavirus: 12 kakitangan hospital dikuarantin

THE HAGUE – Disebabkan prosedur rawatan tidak dipatuhi dengan betul, seramai 12 kakitangan hospital di Belanda dikuarantin selepas mereka merawat seorang pesakit positif hantavirus yang dipindahkan dari kapal persiaran MV Hondius

Hospital Universiti Radboud di timur Belanda dalam satu kenyataan berkata, kesilapan prosedur berlaku ketika pengambilan sampel darah serta pelupusan air kencing pesakit.

Pesakit berkenaan, yang identitinya tidak didedahkan, dipindahkan dari MV Hondius melalui ambulans udara dan dimasukkan ke Hospital Radboud pada Khamis dan kemudiannya, disahkan bahawa pesakit tersebut positif hantavirus.

Menurut kenyataan itu, dua belas pekerja akan menjalani kuarantin pencegahan selama enam minggu sebagai langkah berjaga-jaga, walaupun risiko jangkitan adalah rendah.

Kenyataan hospital itu menyebut, kesilapan pertama berlaku ketika pengambilan darah pesakit sebaik tiba pada Khamis.

Walaupun prosedur standard digunakan, hospital memaklumkan bahawa “disebabkan sifat virus ini, darah tersebut sepatutnya diproses mengikut prosedur yang lebih ketat.”

Pada Sabtu pula, hospital mendapati prosedur lebih ketat juga tidak dipatuhi dalam pelupusan air kencing pesakit.

Pengerusi lembaga hospital itu, Bertine Lahuis, berkata, walaupun kemungkinan jangkitan sebenar adalah sangat kecil, langkah-langkah ini memberi kesan besar kepada semua yang terlibat.

“Kami kesal perkara ini berlaku di pusat perubatan universiti kami. Kami akan menyiasat dengan teliti perjalanan kejadian untuk mengambil pengajaran dan memastikan ia tidak berulang pada masa depan,” kata Lahuis.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment