ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata terdapat ‘peluang yang sangat baik’ untuk mencapai satu persetujuan dengan Iran sebelum lawatan negara ke China yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 15 Mei ini.
Beliau berkata walaupun mencapai penyelesaian sebelum minggu depan adalah ‘ideal’ atau terbaik, namun ia bukanlah satu kemestian.
Bagaimanapun, Presiden itu memberi amaran sekiranya rundingan gagal, Washington akan ‘kembali ke cara lama’, merujuk kepada tindakan menyambung semula kempen pengeboman secara besar-besaran.
Dalam pada itu, AS dan Iran dilaporkan semakin hampir untuk memuktamadkan memo satu halaman bagi menamatkan peperangan antara kedua-dua negara.
Perjanjian berpotensi itu akan membabitkan komitmen Iran terhadap moratorium pengayaan nuklear, manakala AS bersetuju untuk menarik balik sekatan, dengan kedua-dua pihak akan melonggarkan sekatan transit melalui Selat Hormuz, menurut laporan itu.
Tempoh moratorium pengayaan uranium berkenaan masih dalam rundingan, dengan jangkaan tempoh antara 12 hingga 15 tahun.
