Dua ADUN Bersatu kini berkecuali

SEPANG 4 Mei – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker mengubah pendirian dan mengumumkan langkah berkecuali susulan perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengikut jejak rakannya, Ridzuan Ahmad (DUN Gemas) yang lebih awal mengambil pendirian berkecuali petang ini.

Minggu lalu, mereka berdua dan tiga lagi ADUN Perikatan Nasional (PN-Pas) menyatakan sokongan terhadap tindakan 14 ADUN BN – UMNO yang menarik sokongan terhadap kepemimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mohamad Hanifah memaklumkan, keputusan tersebut diambil selepas pertimbangan teliti dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta keperluan memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.

“Keutamaan kami adalah memastikan suasana politik kekal kondusif agar tidak menjejaskan usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam keadaan semasa yang penuh cabaran.

“Dalam masa sama, kami berpandangan bahawa pendirian UMNO di peringkat nasional mahupun di Negeri Sembilan ketika ini dilihat tidak konsisten dan berpotensi mengelirukan rakyat,” katanya.

Beliau juga menegaskan, sebarang perubahan besar dalam landskap politik negeri wajar dikembalikan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum atau pilihan raya negeri yang akan datang.

“Pendirian berkecuali ini mencerminkan komitmen kami terhadap prinsip kematangan politik, kestabilan pentadbiran dan keutamaan kepada kebajikan rakyat melebihi kepentingan politik jangka pendek,” katanya.

Terdahulu Ridzuan berkata, keputusan berkecuali itu dibuat selepas mempertimbangkan secara mendalam kepentingan rakyat serta kestabilan negeri dan negara secara keseluruhan.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan keadaan politik kekal stabil dan tidak menjejaskan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam suasana mencabar.

Dalam kenyataannya, beliau berpandangan penukaran kepimpinan kerajaan negeri pada masa ini adalah tidak sesuai dan berpotensi menimbulkan ketidakstabilan yang boleh merugikan rakyat.

Sebarang perubahan besar dalam landskap politik sewajarnya diserahkan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum akan datang, dan bukannya dilakukan dalam keadaan semasa yang boleh mencetuskan ketidaktentuan,” katanya.

Beliau berkata p, pendirian berkecuali yang diambil adalah selari dengan prinsip untuk mengutamakan kestabilan, kematangan politik dan kebajikan rakyat berbanding kepentingan politik jangka pendek.

Ridzuan turut menegaskan akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan memberi fokus kepada kebajikan rakyat serta kekal vokal sebagai pembangkang bagi memainkan peranan semak dan imbang terhadap dasar kerajaan Negeri Sembilan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment