BAMAKO – Perjalanan ibadah lebih 4,000 bakal jemaah haji terjejas apabila syarikat penerbangan EgyptAir membatalkan semua penerbangan haji ke dan dari Mali yang kini dilanda krisis.
Menurut badan penyelaras haji negara itu, pembatalan berkenaan dibuat ketika negara Afrika Barat itu berdepan krisis keselamatan yang meruncing, susulan serangan kumpulan pemisah dan pejuang jihad yang menyasarkan junta pemerintah.
Serangan berskala besar di beberapa kubu kuat junta pada hujung minggu lalu mengorbankan menteri pertahanan negara itu, manakala kumpulan pejuang mula menyekat beberapa laluan masuk ke ibu negara, Bamako.
Badan kerajaan yang menguruskan penyertaan haji rakyat Mali berkata, pembatalan penerbangan itu berpunca daripada perbezaan kos berkaitan kenaikan harga bahan api serta faktor keselamatan di Mali.
Bagaimanapun perbincangan pada peringkat tertinggi sedang dijalankan bagi mencari penyelesaian segera bagi memastikan jemaah dapat berlepas dalam keadaan yang terbaik.
Pembatalan itu menjejaskan hampir satu pertiga daripada keseluruhan kuota 13,323 jemaah yang diperuntukkan kepada Mali bagi musim haji 2026.
