Selepas arak, ‘disko’ pula di tengah jalan

SEPANG 1 Mei  – Umpama disko di tengah jalan, demikian kenyataan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh ketika mempersoalkan penganjuran program berbentuk pesta air di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Dr Muhamad Akmal berkata, sebelum ini terdapat program kementerian menyediakan hidangan arak, manakala penganjuran terbaharu itu pula dilihat tidak selari dengan nilai masyarakat setempat.

Beliau mendakwa bantahan yang disuarakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak diberi perhatian oleh pihak menteri terlibat.

Sehubungan itu, beliau secara sinis menyatakan harapan agar Perdana Menteri dapat menganugerahkan gelaran “menteri paling kuat bekerja membina imej baik Madani” kepada Menteri Pelancongan susulan penganjuran program terbabit.

Moga PMX boleh anugerahkan menteri paling kuat bekerja membina imej baik Madani pada menteri perlancongan ini,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebooknya bertajuk ‘Mohon YAB PMX untuk membatalkan pesta air di Bukit Bintang ini’ .

Dalam masa sama, beliau turut meluahkan harapan agar cuaca hujan lebat serta ribut petir berlaku di kawasan penganjuran program berkenaan.

Terdahulu Jawi dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya membantah penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 di Kuala Lumpur yang dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.

Jawi menzahirkan kekesalan terhadap penganjuran program tersebut dan berharap  pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaan serta lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

Pada masa sama Jawi turut memohon kerjasama semua pihak bagi memastikan sebarang penganjuran program hiburan tidak mengandungi unsur yang boleh menjejaskan kesucian agama dan akhlak masyarakat demi mengelakkan kemudaratan lebih besar.

Nnn

Related posts

Leave a Comment