SEPANG 28 April – UMNO Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menolak dakwaan bahawa tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar merupakan usaha “tebuk atap” atau cubaan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri secara tidak bertanggungjawab.
Dalam satu kenyataan malam ini, UMNO BN negeri itu menjelaskan tindakan menarik sokongan ini bukan soal prestasi harian Menteri Besar semata-mata, tetapi soal keyakinan terhadap kebijaksanaan kepemimpinan beliau dalam mengurus krisis institusi yang amat sensitif.
Justeru UMNO BN Negeri Sembilan menyeru semua pihak, termasuk Pakatan Harapan (PH) supaya tidak meremehkan krisis ini dengan menyempitkannya kepada naratif “tebuk atap” atau perebutan kuasa semata-mata.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata PH menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan UMNO BN Negeri Sembilan untuk cuba ‘menebuk atap’ dan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.
UMNO BN Negeri Sembilan dalam kenyataannya juga berpandangan bahawa isu berkaitan adat, institusi dan pentadbiran Negeri Sembilan sewajarnya ditangani dengan penuh kefahaman terhadap konteks negeri ini.
Dalam hal ini, adalah lebih wajar ruang penjelasan utama diberikan kepada pimpinan dan wakil rakyat Negeri Sembilan yang lebih memahami kedudukan adat, perlembagaan dan sensitiviti setempat.
“Pendirian 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan dibuat secara terbuka, rasmi dan berasaskan prinsip. Ia bukan tindakan sulit, bukan rundingan pintu belakang, dan bukan gerakan merebut kuasa.
Ia adalah pendirian politik yang sah apabila keyakinan terhadap kepemimpinan Menteri Besar telah hilang.
Pakatan Harapan perlu memahami bahawa isu ini bukan sekadar pertikaian politik biasa. Isu ini menyentuh krisis yang melibatkan Institusi Adat, Perlembagaan Negeri, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta kestabilan pentadbiran negeri,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa UMNO BN Negeri Sembilan tidak mencampuri urusan adat.
Bagaimanapun apabila tindakan dan kenyataan eksekutif kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat, mencetuskan pertikaian awam, dan Exco UMNO BN tidak dimaklumkan secara sewajarnya dalam proses kerajaan negeri, maka UMNO BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan yang tidak dimaklumkan, tidak dipersetujui dan tidak selari dengan prinsip menghormati adat serta perlembagaan negeri.
Menurut kenyataan itu lagi, UMNO BN Negeri Sembilan tetap menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, menghormati Institusi Raja-Raja Melayu, mempertahankan Institusi Adat Negeri Sembilan dan berpegang kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Segala langkah selepas ini hendaklah dibuat mengikut lunas perlembagaan, undang-undang negeri dan tertib institusi.
Rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat penjelasan yang jujur tentang bagaimana krisis ini berlaku, mengapa Exco UMNO BN tidak dimaklumkan, dan bagaimana keyakinan terhadap pentadbiran negeri boleh dipulihkan,” kata kenyataan itu .
Nn
