MCMC diminta bertindak segera

SHAH ALAM 27 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta mengambil tindakan tegas dan segera berhubung satu hantaran bergambar di media sosial yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata pendirian kerajaan negeri itu telah disampaikan kepada Menteri Komunikasi,  Fahmi Fadzil dalam satu pertemuan yang diadakan petang tadi.

“Saya akan berhubung rapat dengan Kementerian Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkembangan siasatan oleh agensi penguat kuasa serta menyembah maklum sebarang kemas kini siasatan kes ini kepada Sultan Selangor,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan satu imej suntingan digital di media sosial yang memaparkan seekor haiwan mengenakan pakaian istiadat serta darjah kebesaran negeri, dipercayai bertujuan menghina institusi diraja.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab itu yang disifatkan mencemarkan serta mengaibkan institusi diraja Selangor.

Beliau berkata institusi diraja, khususnya Raja-Raja Melayu, merupakan Ketua Agama Islam serta simbol perpaduan rakyat dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Respons semua pihak termasuk masyarakat awam yang mengutuk perbuatan itu adalah isyarat jelas pendirian rakyat terhadap peranan, fungsi dan penghargaan tertinggi terhadap institusi diraja Selangor.

“Saya tegas menyatakan bahawa tindakan keji sedemikian adalah ditegah di Selangor dan seawal pagi tadi, Setiausaha Politik saya, Saifuddin Shafi Muhammad telah membuat laporan polis bagi menggesa siasatan segera terhadap perbuatan hina ini,” katanya.

Amirudin turut mengingatkan semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat dan institusi diraja, khususnya di negeri berbilang kaum seperti Selangor.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment