SEPANG 27 April – DAP akan terus mendukung Kerajaan Negeri Sembilan yang telah diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri 2023 yang lalu, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.
Justeru, kata Ahli Parlimen Seremban itu, DAP akan menolak sebarang usaha untuk menubuhkan “Kerajaan Tebuk Atap” di Negeri Sembilan.
“DAP juga memutuskan pendirian bahawa kesemua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Negeri Sembilan akan terus menyokong Datuk Seri Utama Aminuddin Harun kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, “ katanya .
Untuk rekod pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi yang disumbangkan oleh DAP (11), PKR (5) dan Amanah (1) manakala BN/UMNO memenangi 14 kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh lima kerusi iaitu tiga DUN diwakili Pas dan Bersatu menang dua kerusi.
Loke dalam kenyataannya berkata, DAP akan sentiasa menghormati dan menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.
Katanya, dalam konteks institusi Raja Berperlembagaan di Negeri Sembilan, ia terdiri daripada Yang Di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
DAP kata ADUN Chennah itu menghormati keunikan dan keistimewaan Adat Pepatih dan kedudukan serta kuasa Undang Yang Empat untuk melantik dan menurunkan takhta Yang Di-Pertuan Besar.
“Namun, sebarang tindakan untuk menurunkan takhta Yang Di-Pertuan Besar mesti berlandaskan prinsip dan proses yang tertib berlandaskan Artikel X (1) Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan.
Kedaulatan dan martabat institusi Yang Di-Pertuan Besar sebagai simbol Ketua Negeri mesti dipertahankan dan tidak boleh dibenarkan mana-mana pihak untuk memperlekeh, mengaib dan memalukan DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Nnnnn
