SEREMBAN 27 April – Perikatan Nasional (PN) negeri sedia bekerjasama dengan UMNO/BN bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/Barisan Nasional (BN) menarik sokongan kepada Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Ketua Pembangkang yang juga ADUN Labu mewakili Bersatu , Mohamad Hanifah Abu Baker, menyatakan pendirian itu pada sidang media, selepas mesyuarat tergempar di sebuah hotel di sini.
Mohamad Hanifah berkata, lima ADUN PN bersedia untuk bekerjasama dengan 14 ADUN BN Negeri Sembilan untuk menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran negeri bagi membangunkan Negeri Sembilan dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, lima ADUN gabungan itu mengikuti perkembangan krisis kepimpinan kerajaan negeri sejak beberapa minggu yang lalu.
“Mewakili rakyat Negeri Sembilan, kami kesal kerana krisis ini terus berlarutan dan menjejaskan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri sehingga Sidang Dewan Undangan Negeri Sembilan terpaksa ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baharu.
“Ini membuktikan bahawa YAB Datuk Seri Aminuddin Harun gagal menangani krisis ini secara bertanggungjawab demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan.
“Sehubungan dengan itu, kami lima Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan dari Perikatan Nasional bersedia untuk bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan untuk menjamin kestabilan kerajaan negeri dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri bagi membangunkan Negeri Sembilan dan menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Turut hadir, ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad; ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria; ADUN Serting Mohd Fairuz Mohd Isa dan ADUN Paroi, Kamarul Ridzuan Mohd Zain.
Mohamad Hanifah yang juga Ketua Bersatu Negeri Sembilan, berkata krisis terbabit bertambah serius apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO/BN Negeri Sembilan sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.
Beliau berkata, tindakan yang diambil oleh lima ADUN PN adalah selaras dengan pendirian gabungan itu yang sentiasa meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai agenda perjuangan.
“Kami sentiasa meletakkan kepentingan Negeri Sembilan dan rakyat sebagai agenda perjuangan,” katanya.
Pada sidang media itu, Mohamad Hanifah menyerahkan surat kesediaan bekerjasama kepada wakil UMNO yang diwakili Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor.
Mustapha ketika ditemui pemberita, berkata hasrat PN berkenaan akan disampaikan kepada Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias.
Difahamkan, terdahulu, Setiausaha PN, Takiyuddin Hasan, hadir dalam satu pertemuan dengan pimpinan gabungan itu di hotel berkenaan sebelum sidang media diadakan.
Nnnn
