KUALA LUMPUR 25 April – Sekretariat Tangkap Azam Baki memberi tempoh 60 hari kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Madani untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait isu mafia korporat dan reformasi dalam pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam kenyataan hari ini, sekretariat itu mahu RCI diketuai oleh tokoh yang terkemuka seperti bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat atau tokoh lain yang setaraf dan dihormati bagi menyiasat isu mafia korporat.
Suruhanjaya ini juga hendaklah bebas sepenuhnya daripada keahlian menteri, penjawat awam dan Peguam Negara.
Selain itu, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu direformasi supaya tidak ada mana-mana institusi mempunyai budi bicara penuh, perlu bebas daripada pengaruh Eksekutif dan wajib membabitkan semakan Parlimen sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi proses pelantikan.
“Kedua-dua tuntutan ini adalah titik mula kepada usaha memulihkan integriti negara daripada terus di noda oleh tangan-tangan berkepentingan yang hanya mahu memenuhi tembolok sendiri dengan membolot kekayaan negara,” menurut kenyataan itu.
Sekretariat menegaskan pelantikan Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu semata-mata tidak mencukupi tanpa reformasi menyeluruh terhadap institusi berkenaan.
Dalam pada itu, sekretariat berkenaan akan terus menggerakkan usaha bagi mendesak pelaksanaan tuntutan.
“Sekretariat Tangkap Azam Baki akan terus menggembleng tenaga rakyat bagi mendesak agar tuntutan-tuntutan ini dilaksanakan oleh Kerajaan Madani.
“Kita akan menggerakkan lebih banyak badan bukan kerajaan, persatuan anak muda, gerakan mahasiswa dan parti politik untuk terus memberi desakan kepada Kerajaan Madani agar melaksanakan janji reformasi institusi,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Himpunan Tangkap Azam Baki membuka lembaran baharu dalam sejarah demonstrasi sedekad yang lalu.
Katanya, ini himpunan pertama yang tidak didukung oleh mana-mana parti politik besar malahan PH, BN atau PN tidak menyokong himpunan kali ini, walaupun ada wakil masing-masing yang hadir.
“Himpunan ini juga dianjurkan sepenuhnya oleh anak-anak muda generasi baru. Orang politik tidak terlibat, hanya dengan memberi sokongan moral dan membantu menghebahkan.Himpunan kali ini merentasi parti dan ideologi politik.
Ada wakil dan pimpinan dari PH (PKR, DAP, Amanah), BN (MCA), PN (PAS dan Bersatu), PSM, Muda, Urimai dan parti-parti lain. Sebahagian besar orang ramai yang hadir tidak berparti dan adalah orang biasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, ada dua insiden, di awal dan di akhir himpunan itu.
“Awalnya, ada cubaan sabotaj dengan membakar beberapa kotak bunga api yang dihalakan kepada orang ramai dan sebelum kemuncak demonstrasi, berlaku ketegangan apabila ada arahan untuk menarik pickup truck yang digunakan sebagai pentas menggunakan tow truck.
Namun alhamdulillah, semuanya diselesaikan secara baik dan saya ucapkan terima kasih kepada penganjur, pihak polis dan orang ramai yang hadir atas tolak ansur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata anggaran kehadiran berbeza-beza di mana beliau sendiri menganggarkan sekitar 1,500 orang manakala anggaran media 1,000 orang, pihak berkuasa 300 orang sementara ChatGPT antara 1,500 ke 2,200 orang.
“Sebaiknya, orang ramai kira sendiri berapa yang hadir dari gambar-gambar yang diambil,” katanya.
Nnn.
