Kenapa dihidupkan semula ‘polemik lama’

SEPANG 23 April  – – UMNO Selangor memandang serius kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Wong Siew Ki yang ‘menghidupkan polemik lama’ dengan mencadangkan supaya penternakan babi dibenarkan semula di negeri ini.

Ketua Penerangan UMNO Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, lebih mengecewakan, perkara ini dibangkitkan ketika pendirian Selangor telah pun jelas.

Malahan katanya, titah Tuanku Sultan Selangor mengenai perkara ini bukan kenyataan samar-samar yang boleh ditafsir sesuka hati sebaliknya ia jelas, tegas dan mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk kesihatan awam, pencemaran alam sekitar, kekangan tanah serta keharmonian masyarakat majmuk.

Soalnya mudah, mengapa masih mahu membuka semula isu yang telah ditutup dengan pertimbangan menyeluruh?,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Siew Ki semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.

Menurut Siew Ki, penternakan babi sepatutnya tidak dibezakan dengan penternakan haiwan lain yang juga menghasilkan risiko pencemaran dan kesihatan yang sama.

Sambil menyamakan ternakan babi sama seperti haiwan lain, Siew Ki berkata, cadangan beliau setelah mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Isnin lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di negeri ini.

Baginda bertitah, meskipun arahan telah dikeluarkan sebelum ini, masih kedengaran rungutan yang mempertikaikan keputusan berkenaan.

“Beta telah memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri Selangor antaranya faktor tanah yang tidak mencukupi dan ternakan babi diadakan di kawasan penempatan penduduk yang padat dengan umat Islam,” titah baginda.

Mohd Zaidi dalam pada itu mempersoalkan mengapa masih mahu membuka semula isu yang telah ditutup dengan pertimbangan menyeluruh sehingga lupa adab dalam negeri beraja.

“Adakah kerana ketandusan idea? Janganlah setiap perkara mahu dibalut dengan istilah teknikal kononnya moden, seolah-olah teknologi boleh memadam sensitiviti masyarakat dan mengatasi kebijaksanaan keputusan yang telah dibuat,” katanya.

Beliau berkata, wakil rakyat sepatutnya membawa cadangan yang menyelesaikan masalah rakyat, bukan mencipta keresahan baharu.

“UMNO Selangor ingin mengingatkan bahawa hormat kepada institusi Raja Berperlembagaan bukan pilihan bermusim. Ia asas kepada kestabilan negeri dan negara. Jangan bila sesuai dipuji, bila tidak sesuai dipertikai.

Kepada rakyat Selangor, bezakanlah siapa yang bekerja menyelesaikan masalah, dan siapa yang sibuk mencipta masalah,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment