SEPANG 9 April – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyarankan kerajaan melihat semula formula yang digunakan oleh Thailand untuk menentukan harga minyak selepas negara itu berjaya menurunkan harga diesel bermula hari ini.
Beliau pada masa yang sama juga secara sinis menyarankan kerajaan mencari semula raja formula yang sebelum ini pernah mendakwa mampu menurunkan harga minyak dengan mudah.
Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu berkata, tindakan Thailand menurunkan harga minyak di negara itu seiring dengan harga minyak dunia namun di Malaysia berlaku sebaliknya.
“Pada minggu lepas kerajaan Thailand telah melihat semula formula harga minyak mereka dan apabila harga minyak dunia telah turun semalam maka hari ini harga minyak mereka turut turun.
“Manakala di Malaysia pula harga minyak kita terus meningkat akibat formula penentuan harga minyak negara ditentukan oleh purata harga bagi minggu sebelumnya,” katanya menerusi Facebokk hari ini.
Akmal juga turut menyindir supaya kerajaan mencari semula raja formula yang sebelum ini pernah mendakwa mampu menurunkan harga minyak dengan mudah.
“Cari semula raja formula yang sebelum ini kata boleh turunkan minyak,” ujarnya.
Thailand sebelum ini akan mengurangkan harga diesel sebanyak 2.14 baht (RM0.27) seliter bermula Khamis (9 April), sekali gus memberi kelegaan segera kepada pemandu dan perniagaan menjelang sambutan Pesta Songkran.
Jawatankuasa Pengurusan Dana Bahan Api Minyak (OFMC) semalam mengumumkan pengurangan itu susulan semakan semula formula harga penapisan oleh Kementerian Tenaga bagi mengurangkan beban rakyat.
Menteri Tenaga Akanat Promphan berkata Jawatankuasa Pentadbiran Dasar Tenaga telah meluluskan potongan sebanyak 2 baht seliter bagi harga “ex-refinery” untuk diesel B7 dan B20.
Nnnn
